Hatta membunuh insan yang tidak berdosa serta orang yang paling rapat, andainya itu perlu dikorbankan kerana duit.

Kita belajar di menara ga­ding kerana matlamat akhir duit. Kita bekerja kuat siang malam sehingga kadangkala lupakan Tuhan dan keluarga juga demi tuntutan duit.

Kita tidur ingatkan duit. Kita mimpi pun mimpikan duit, akhirnya kita masuk kelompok hamba duit. Kita tergolong dalam spesies bertuhankan duit, tragisnya juga, kita mati pun angkara duit.

Tak salah kita gigih be­kerja kerana mengejar wang. Era Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ini, duit lambang kemewahan dan simbol ke­senangan. Kata orang, pekerjaan yang mustahil pun boleh dilakukan andai tabur pelincir iaitu wang.

Sudah terbukti wang boleh membeli segala-galanya termasuk jiwa manusia, syarikat dan negara.

Cara mendapatkan wang melalui jalan songsang dan bertentangan dengan tuntutan agama itu yang silap dan wajib dihalang.

Di bumi bertuah ini, ‘Malaysia tanah airku’, tidak ada halangan untuk sesiapa mencari duit. Malahan kerajaan sentiasa membuka jalan dan mendorong rakyatnya mencari duit dengan jalan lurus serta tidak bengkang-bengkuk.

Di sini, pendatang asing pun boleh buat duit asalkan menghormati dan mentaati undang-undang negara tempat mereka cara makan. Mereka sepatutnya mulakan langkah pertama dengan ma­suk ke negara ini secara sah serta ikut pintu depan.

Bukan masuk senyap-se­nyap guna pintu belakang.

Peliknya dalam kehidupan yang singkat ini, semakin kaya semakin mereka tamak dan haloba. Mereka hendak kaya lagi tapi dengan cara menipu orang, berbohong pada Lembaga Hasil Dalam Negeri, ra­suah sana sini dan yang paling sedih, sanggup bunuh orang serta tidak berzakat.

Kelebihan penyakit akhir zaman ini, ia menjangkiti semua lapisan masyarakat tidak kira yang ada ijazah berjela-jela atau orang kuat beragama serta yang papa kedana.

Virus bertuhankan duit secara songsang ini perlu dibanteras jika tidak ia umpama ‘api dalam sekam’, merosak dan membinasakan keluarga, syarikat serta negara dalam diam-diam.

Dewasa ini bala dadah jenis syabu juga amat menakutkan. Kalau dulu kaki syabu merosakkan diri sendiri tapi sekarang mengancam nyawa masyarakat termasuk orang sekeliling. Spesies manusia bertuhan duit sama dengan insan kemaruk syabu.

Yang mewah hidup dengan menjual dadah akan teruskan aktivitinya demi duit. Aktiviti merosak dan menjahanamkan negara dan anak bangsa sendiri itu akan terhenti bila ditangkap. Mereka hanya mengenal Tuhan serta insaf bila berada di tali gantung.

Ketika itu, segala-galanya sudah terlambat, nasi sudah menjadi bubur, menangis air mata darah sekalipun tidak berguna.

Kaki syabu ini sanggup buat apa sahaja termasuk merompak walaupun di kedai dobi pada siang hari di depan kamera televisyen litar tertutup tanpa berselin­dung wajah.

Sanggup juga bunuh orang yang disayangi kerana pe­ngaruh syabu.

Sebab itu, orang tua-tua pesan, kena pandai memilih kawan. Jangan berkawan de­ngan syabu, ia tidak membawa sebarang kebaikan.

Syabu ini adalah jenis kawan yang makan kawan. Ia bukan kawan masa senang juga masa susah.

Malaysia Baharu boleh rosak dan jahanam kalau rakyat ‘pejamkan mata pekakkan telinga’ membiarkan kesemua virus licik lagi bahaya ini bermaharajalela dan berkampung sehingga membina koloni di tanah air tercinta ini.

SAPU BERSIH:

Selamat menyambut Hari Malaysia, waspada dengan anasir-anasir jahat yang seronok dan bertepuk ta­ngan bila menyaksikan negara tercinta ini dilanda bala dan musibah.

Ramai yang susah hati melihat orang senang. Ba­nyak yang gembira dalam diam-diam melihat orang lain susah.