Chong Yok Fon, 53, atau dikenali Tina Chong menerima anugerah itu sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2019 yang diadakan di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh di sini, kelmarin.

Penyampaian sijil anugrah itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail.

Tina berkata, anugerah itu juga adalah kali kelima diterimanya termasuk tiga di peringkat  negeri dan dua di peringkat kebangsaan.

Katanya, segala titik peluhnya untuk mengeluarkan durian Musang King berkualiti tinggi sudah tercapai.

“Walaupun ada persaingan dengan pekebun lain, namun pengeluaran durian Musang King tidak pernah terjejas apabila sering mendapat permintaan termasuklah dieksport ke luar negara.

“Kebanyakan orang ramai berpuas hati apabila makan durian keluaran kebun saya apabila mereka mengatakan isinya sedap dan biji di dalamnya juga kecil," katanya ketika ditemui di kebunnya di Kampung Pulai di sini, hari ini.

Sebelum ini Tina pernah menerima anugerah sama sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kelantan pada tahun 2013 dan sijil pengiktirafan serta pensijilan MyGAP daripada Jabatan Pertanian.

Selain itu, Tina Chong juga turut menerima anugerah pada pameran buah-buahan antarabangsa Maha Internasional & HPPNK 2010 dan Maha Internasional HPPNK 2012 di Serdang, Selangor.

Tina berkata, lebih 500 pokok durian Musang King yang diusahakan di kawasan seluas lapan hektar itu turut diusahakan bersama 10 adik-beradiknya.

Katanya, selain untuk pasaran tempatan, durian Musang King mereka juga turut mendapat permintaan tinggi dan dieksport ke Hong Kong, China dan Singapura. - K! ONLINE