Tuan Amirul Daniel Tuan Mat, 12, bakal beraksi bagi merebut piala Piala Soong Ching Ling 2019 yang berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos nanti. 

Sebagai persediaan bagi perlawanan itu dia akan menjalani latihan pusat di Bukit Jalil, Kuala Lumpur  bermula 26 Julai ini. 

Kejayaan Amirul dalam arena bola sepak itu dikongsikan bersama antara warga SK Wakaf Raja serta ibu bapanya, Nik Nurul Hasyira Mat Hussin, 33, dan Tuan Mat Tuan Abdullah, 42, yang merupakan pendorong utama minat kanak-kanak itu.

Yang turut hadir; Penyelia Sukan Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Puteh, Zamri Mohamad; Ketua Jurulatih Akademi Tunas Pasir Puteh (ATPP), Saufi Mat Zain; Guru Besar, Mohd. Zamri Jaafar; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Shahifuddin Abdullah dan Penolong Kanan Kokurikulum, Saiful Bahrin Abd. Rahman

Bapanya, Tuan Mat berkata, dia hanya menyedari bakat dan minat anaknya yang mendalam terhadap bolasepak namun tidak pernah terbayang akan berpeluang beraksi mewakili negara di peringkat dunia. 

Menurutnya, keluarga amat berharap Amirul mampu menjadi ayam tambatan yang bakal mengharumkan negara bersama rakan pemain yang lain. 

"Tidak pernah terfikir dia ke negara luar semata-mata bola sepak dan kami amat  bangga dengan kejayaannya dan berterima kasih kepada guru dan jurulatih Akademi Tunas Pasir Puteh (ATPP) yang banyak mengembangkan bakat dan kemahirannya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Lebih menarik, katanya, Amirul adalah satu-satunya pemain cilik Kelantan dari sekolah luar bandar yang terpilih ke kejohanan itu.

Dalam pada itu, Guru Besar, Mohd. Zamri ketika ditemui berkata, bakat Amirul dalam bola sepak dikesan sejak dia berada di darjah tiga.

Menurutnya, inisiatif ibu bapa yang menghantarnya menjalani latihan ATPP banyak membantu Amirul mengembangkan bakat dan menguasai kemahiran bola sepak moden yang diajar jurulatih yang terlibat. 

"Kami benar-benar berbangga dengannya, walaupun dia tidak pernah mewakili negeri, tetapi dia akhirnya berjaya mewakili negara.

"Sudah tentu dia ada kelebihan sehingga berjaya mencuri tumpuan panel pemilihan pasukan bola sepak negara.

Saya berharap Amirul bersedia untuk berdepan kejutan budaya kerana kejayaan ini cukup besar dan bersejarah buat rakyat di negeri ini," katanya. - K! ONLINE