Beliau berkata, ini bertepatan dengan harapan dan impian rakyat untuk melihat perubahan selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu. 

"Menjadi menteri besar sebanyak dua kali memberikan saya satu perspektif yang lebih menyeluruh mengenai keikhlasan dan kesetiaan warga pentadbir dalam menjalankan tanggungjawab kita bersama demi negeri Kedah yang kita sayangi ini.

"Sudah tiba masanya untuk kita membina suatu budaya yang baharu. Budaya pemangkin kepada kejayaan. Budaya yang tidak lagi sarat dengan amalan-amalan lapuk yang membelenggu kita daripada mencapai kejayaan hidup," katanya ketika menyampaikan amanat di hadapan lebih 3,000 penjawat awam pada program Bicara Integriti di Wisma Darul Aman di sini hari ini. 

Mukhriz berkata, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dalam titahnya sebelum ini juga menekankan mengenai pentingnya setiap aktiviti yang hendak dilaksanakan dirancang dengan teliti agar manfaatnya dapat dinikmati dan dikecapi oleh rakyat. - Bernama