Majlis angkat sumpah Menteri Besar Kedah ke-13 itu dilakukan di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu mengangkat sumpah jawatan tersebut buat kali kedua selepas kali pertama pada 2013.

Majlis berkenaan turut disaksikan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadhil Awang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din.

Seramai 18 ADUN PH yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hadir pada majlis tersebut termasuk ADUN Gurun, Johari Abdul dan ADUN Anak Bukit, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah.

Mukhriz, 54, pernah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah ke-11 pada 6 Mei 2013 dan meletak jawatan tersebut pada 3 Februari 2016.

Ahmad Bashah kemudian dilantik sebagai  Menteri Besar bagi menggantikan Mukhriz pada 3 Februari 2016.

PH yang bertanding menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi 18 daripada 36 kerusi DUN di negeri ini pada PRU-14.

Pas dan Barisan Nasional (BN) masing-masing memenangi 15 dan tiga kerusi DUN.

Bagi kerusi Parlimen, PH menawan 10 kerusi Parlimen diikuti Pas tiga kerusi dan BN hanya dua kerusi Parlimen. - K! ONLINE