Kejadian berlaku pukul 10 pagi ketika mangsa dikenali Zahir Ahmad berusia 20an sedang membersihkan kawasan tersebut bersama dua rakannya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata,  mangsa telah didatangi dua suspek lelaki tempatan yang menaiki sebuah motosikal jenis Modenas Kriss.

Menurutnya, kedua-dua suspek berkenaan kemudiannya meminta mangsa menyerahkan telefon bimbit miliknya.

"Bagaimanpun mangsa enggan menyerahkannya sebelum berlakunya pergelutan. Semasa pergelutan berlaku, suspek telah menoreh muka mangsa menggunakan sebilah pisau kecil.

"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian bawah muka dan telinganya telah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk rawatan lanjut,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun mangsa dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan sebagai pesakit luar di hospital terbabit.

Jelas Baharuddin, mangsa tidak mengenali suspek kerana baru sehari bekerja di kawasan berkenaan dan tidak dapat mengecam kedua-dua suspek berikutan kejadian berlaku secara pantas.

"Selain cedera dimuka mangsa turut kehilangan telefon bimbit dianggarkan RM800.

"Orang ramai atau saksi yang melihat kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-55202222,"ujarnya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan. - K! ONLINE