Ibu saudaranya, Nurul Fatihah Jusoh, 34, berkata,  Muhammad Khairul Haziq yang masih dirawat di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini bukan sahaja berubah menjadi pendiam malah sering mengigau menyebut nama bapanya, Mohd. Kharulinzam Jusoh, 38, sewaktu tidur pada waktu malam.

"Pada waktu siang pula, matanya meliar mencari papa, mama (Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21) dan adik perempuannya, (Nur Khaira Aisyah, sembilan bulan) sambil sesekali dia memanggil papanya.

"Dia (Muhammad Khairul Haziq) memang rapat dengan papanya. Kami sekeluarga masih belum berani untuk memberitahu perkara sebenar (kematian semua ahli keluarga) kerana keadaan dia masih belum stabil," katanya ketika ditemui di Kampung Paloh Tuan Sulong di sini hari ini.

Terdahulu dia ditemui ketika menemani ibunya, Wook Awang, 68, menerima faedah pengurusan jenazah daripada Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Nora Yaacob.

Kosmo! Ahad pada 10 Februari lalu melaporkan hasrat enam sekeluarga untuk pulang ke rumah selepas menghadiri majlis kenduri kahwin tidak kesampaian apabila lima daripadanya maut selepas kereta Proton Saga yang mereka naiki merempuh sebatang pokok tunjuk langit di Jalan Kuala Terengganu - Kampung Raja berhampiran Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Nerus. - K! ONLINE