Labur? Perkataan labur mungkin agak ­asing bagi kebanyakan anda tetapi tahukah anda, wang yang dilaburkan mampu memberi dividen tahunan dan dividen ini membolehkan wang anda bertambah dari tahun ke tahun dengan sendirinya?

Sebagai contoh, pada Aidilfitri yang lalu anda mene­rima duit raya sebanyak RM500 dan wang ini dimasukkan oleh ibu anda ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB). Sekiranya wang ini tidak dike­luarkan langsung selama setahun dan ASB memberi ­dividen ­sebanyak 6 pe­ra­tus, maka anda akan menerima RM30 dalam bentuk dividen.

Dividen ini menambah duit asal anda kepada RM530 tanpa perlu anda sebagai pelabur berbuat apa-apa. Menarikkan? Inilah yang dinamakan keajaiban dalam pelaburan yang mana wang yang dilaburkan akan menerima dividen dan ia akan menambah kepada jumlah wang yang anda laburkan.

Sekiranya wang anda terus dilaburkan, kuasa faedah kompaun akan terus menambah wang anda dari tahun ke tahun kerana anda bukan sahaja menerima dividen daripada duit asal anda, tetapi juga daripada dividen yang anda terima dari tahun-tahun sebelumnya.

Bayangkan seseorang itu melaburkan RM10,000 dan dia menerima dividen sebanyak 10 peratus selepas satu tahun, dia akan menerima wang tambahan atau pulangan sebanyak RM1,000 daripada pelaburannya.

Bayangkan jika anda menghabiskan semua RM500 yang anda terima tadi, apa agaknya yang anda miliki hari ini? Mungkin anda sendiri tidak pasti kerana wang berkenaan habis begitu sahaja, lebih-le­bih lagi jika anda tidak membuat sebarang bajet untuk mencatat perbelanjaan anda.

Tidak kiralah sama ada anda melabur dalam ASB atau dalam apa-apa jenis pelaburan yang lain, anda perlu sentiasa menanam keinginan untuk melaburkan sebahagian atau semua wang yang anda terima.

Jika belum ada akaun ASB, minta ibu bapa anda untuk membukanya di mana-mana cawangan atau ejen ASNB seperti Maybank dan CIMB Bank.

Kalau ada wang lebihan, minta sahaja ibu bapa memasukkan wang anda ke dalam ASB secara online menerusi myASNB.

Dengan cara ini, anda boleh memastikan anda sentiasa mempunyai akaun pelaburan sebagai sumber kewangan jika anda memerlukan sesuatu pada masa depan. Tidak mustahil, pelaburan ini juga akan membantu mengurangkan beban kewangan keluarga apabila anda memulakan pengajian di universiti kelak.

Terma dan syarat kuiz pelaburan PNB