Program ini memberi kelebihan kepada pelajar bumiputera melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan profesional lain.

Ironi, ada juga yang melabelnya sebagai ‘pintu belakang’ bagi pelajar bumiputera untuk memasuki universiti tempatan selain dikatakan laluan mudah berbanding Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Maka, apabila PH mengambil alih kerajaan, puak-puak yang tidak mendapat keistimewaan itu cuba ‘mencucuk’ PH untuk menghapuskan matrikulasi yang selama ini dimonopoli seba­nyak 90 peratus bumiputera dan 10 peratus pula golongan bukan bumiputera.

Begitu pun, kebimbangan mengenai isu matrikulasi akhirnya menemui titik penyelesaian apabila Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik baru-baru ini mengumumkan penambahan 60 peratus pengambilan ke program matrikulasi daripada 25,000 kepada 40,000 pelajar, dengan mempertahankan kuota matrikulasi 90:10.

Perkara itu mendapat sokongan banyak pihak yang berdiri teguh di belakang Maszlee ber­kenaan isu matrikulasi kerana sedar program tersebut membantu pelajar golongan B40 yang majoritinya bumiputera.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara, Prof Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim berkata, mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2018, pekerja berkemahiran tinggi hanya sekitar 24.4 peratus dan pekerja separa mahir 62.2 peratus.
Maka, jurang nisbah mengikut kaum yang terlibat dalam bidang sains, teknologi dan profesional masih ketara iaitu kaum bumiputera masih ketinggalan. 

Sementara itu. Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Aini Ideris pula menyifatkan sistem kuota yang dilaksanakan kerajaan bukanlah satu sentimen perkauman dan menyokong penuh kenyataan Maszlee.

“Semua pelajar tanpa mengira latar belakang kaum serta sosioekonomi berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti. Oleh itu, semua pihak perlu menghormati kontrak sosial yang dipersetujui oleh pembina negara bangsa sejak merdeka,” katanya.

Bahkan, Felo penyelidik utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong turut menolak cadangan untuk menutup program matrikulasi kerana baginya dalam kontrak sosial, orang Melayu merupakan penduduk asal yang perlu diberi keistimewaan.

Cuma pokok pangkal yang masih menjadi dilema kita apabila setelah graduasi, graduan bumiputera akan dinafikan bekerja di sektor swasta terutama yang dikuasai mereka yang bukan bumiputera kerana tidak pandai berbahasa Mandarin atau bukan berbangsa Cina.

Ia sekali gus menjadi salah satu faktor pe­ngangguran dalam kala­ngan gra­duan bumiputera agak tinggi.

Jadi, bagaimana pula isu tersebut dapat dirungkai? Besar harapan penulis agar isu itu dapat di­selesaikan secara tuntas.