Bandar Sukan Kuala Lumpur yang baharu memenangi anugerah Reka Bentuk Pencahayaan Luar di Anugerah Hartanah Asia Pasifik 2018-2019 yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

Sementara itu, Stadium Nasional Bukit Jalil, yang terletak di dalam Bandar Sukan Kuala Lumpur, dinamakan sebagai Stadium Terbaik Tahunan 2018 di Anugerah Kongres Stadium Dunia yang berlangsung di Amsterdam, Netherlands sekali gus menewaskan tiga finalis lain dari Perancis iaitu U-Arena Stadium; Stade de France dan New Bordeaux Stadium, menurut MRCB dalam kenyataan hari ini.

MRCB dan pakar stadium antarabangsa, Populous, menjalinkan kerjasama sebagai kontraktor dan arkitek dalam berkongsi visi untuk memberi nafas baharu kepada Stadium Nasional Bukit Jalil dan Bandar Sukan Kuala Lumpur secara keseluruhannya.

"Dalam mereka bentuk semula kompleks sukan itu yang turut merangkumi empat stadium, tumpuan diberikan kepada penyediaan kecemerlangan fungsi bertaraf antarabangsa menerusi penggabungan seni bina moden dan inovatif dengan elemen kelestarian," menurut MRCB.

Projek itu menerima beberapa pengiktirafan sebelum ini seperti Anugerah Lima Bintang Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia selain Anugerah Emas di Anugerah Kecemerlangan Pertubuhan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia ke-13 bagi Pengurusan Unit Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam Kejuruteraan dan Pembinaan.

Bandar Sukan Kuala Lumpur adalah antara 15 projek yang disenarai pendek sebagai finalis daripada 924 penyertaan bagi Anugerah Festival Seni Bina Dunia 2017 di Berlin, Jerman. - Bernama