Yang Dipertua MPKB-BRI, Ahmad Robert Abd Rahim berkata, sehingga kini terdapat 3,018 premis makanan berdaftar di bawah Jabatan Pelesenan MPKB-BRI yang beroperasi dalam kawasan bandar ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal selama dua minggu ke atas 239 premis pada Julai lalu, sebanyak 22 premis mendapat gred A bagi kategori sangat bersih, 107 premis gred B (bersih) dan 110 premis pula dikategorikan di bawah gred C iaitu kurang bersih.

"Kita bercadang untuk membuat senarai premis makanan yang mendapat gred A dan menghebahkannya sehingga menjadi tular. Ia sebagai langkah promosi kepada masyarakat sama ada dalam atau luar Kelantan supaya menjadikan premis yang bersih sebagai pilihan.

"Syarat utama untuk mendapat gred A adalah memastikan kebersihan dari sudut penyediaan dan pengendalian makanan, persekitaran premis yang bersih serta penjagaan aurat pengusaha dan kakitangan bertugas," katanya.

Beliau berkata demkian kepada pemberita semasa menyertai Operasi Bersepadu MPKB-BRI bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu di sini hari ini.

Turut serta, Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu, Mat Ghahit Mohamed. 

Seramai 36 anggota dari MPKB-BRI dan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu terlibat dalam operasi pemeriksaan ke atas premis makanan bermula pukul 10 pagi sehingga pukul 5.00 petang hari ini. - K! ONLINE.