Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dalam kenyataanya memberitahu, tempoh lanjutan itu dilakukan berdasarkan laporan pemantauan yang diterima dan mesyuarat yang diadakan bersama agensi-agensi yang berkaitan pada 21 Disember lalu.

Jelasnya, menerusi laporan, didapati pengosongan stockpile (simpanan stok) dari Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kemaman masih belum berlaku.

Sehubungan dengan itu, katanya, moratorium ke atas aktiviti perlombongan serta pengeksportan bauksit dari Pahang perlu dilanjutkan lagi dan stok simpanan bauksit dari Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kemaman perlu dikosongkan.

“Pengosongan itu perlu dilakukan sebelum prosedur baharu yang telah dirangka berhubung perlombongan, pengangkutan, pengurusan stok simpanan dan pengeksportan bauksit dari Pahang dapat dilaksanakan.

"Kementerian ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat bahawa perintah berhenti kerja yang dikeluarkan di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994 ketika permulaan pengenaan moratorium ini masih lagi berkuat kuasa,” katanya.

Menurut kenyataan itu, mana-mana pihak tidak dibenarkan menjalankan sebarang kerja perlombongan bauksit di Pahang sehinggalah perintah ini ditarik balik. - K! ONLINE