Tinjauan Bernama semalam mendapati pelancong tempatan dan asing tidak melepaskan peluang merasai pengalaman menyaksikan keindahan bandar raya Melaka dengan menaiki monorel itu.

Seorang pengunjung dari Kajang, Selangor, Amir Abu Bakar, 37, berkata, dia sekeluarga menaiki monorel itu secara kebetulan selepas melihat pengangkutan awam itu beroperasi ketika mereka bersiar-siar di sekitar pusat beli-belah yang terletak di Jalan Persisiran Bunga Raya di sini.

“Anak-anak saya teruja sebab ia memberi pengalaman berbeza lihat keindahan dan keunikan negeri ini dari atas monorel ini,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Monorel sepanjang 1.6 kilometer itu menghubungkan Taman Rempah ke Stesen Hang Tuah di Jalan Bunga Raya dan dibina dengan kos RM16.5 juta.

Sebelum ini, perkhidmatannya digantung pada tahun 2013 akibat masalah teknikal.
Perkhidmatan monorel tersebut beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari dengan harga tiket yang ditawarkan RM10 untuk semua peringkat umur bagi promosi bulan pertama.

Tiket dijual di kaunter aras satu Bangunan Monorel, Stesen Tun Ali dan perkhidmatan monorel itu dilanjutkan sehingga pukul 12 tengah malam pada hari Jumaat dan Sabtu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.