Mohd. Zawawi berkata, beliau telah bersedia untuk memikul amanah dan tanggungjawab sebagai ADUN kawasan berkenaan dan meneruskan legasi yang ditinggalkan wakil rakyat sebelum ini, Mat Shuhaimi Shafie. 

"Segala misi dan janji yang dinyatakan saya menerusi kempen selama ini akan saya usahakan dengan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis. 

"Esok adalah hari pengundian dan saya sekali lagi mengambil kesempatan merayu agar semua pengundi DUN Sungai Kandis menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan undilah saya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Mohd. Zawawi yang juga Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh berkata, perkara pertama yang akan saya lakukan sebaik sahaja diberi mandat ialah menubuhkan pusat khidmat masyarakat di Bandar Puteri, Klang bagi memudahkannya berhubung dengan pengundi Sungai Kandis. 

"Saya ulangi ikrar saya untuk bersama dengan pengundi DUN Sungai Kandis dalam keadaan susah dan senang pengundi demi menuju masa depan yang lebih baik di bawah kerajaan Pakatan Harapan. 

"Saya dan keluarga akan terus menetap di kediaman asal kami di Kampung Jalan Kebun dan tidak akan berada jauh dengan pengundi. Saya percaya pemimpin harus sentiasa berada di sisi pengundi,"katanya. 

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd. Zawawi, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan calon bebas K.Murthy. 

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafie akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu. 

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan seramai 51,230 pengundi berdaftar merangkumi 51,217 pengundi biasa dan 13 pengundi tidak hadir luar negara. - K! ONLINE