Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, Lokman perlu membuktikan dakwaan yang dibuat itu berasas dan bukannya hanya cerita-cerita kosong bagi meraih sokongan pengundi. 

"Saya bukannya macam dia. Saya adalah orang kecil yang tidak banyak harta dan berpegang pada prinsip bahawa kami menentang rasuah, politik wang dan apa juga yang sewaktu dengannya.

"Kalau dia menuduh begitu, pastikan tuduhan itu bukan cerita-cerita kosong yang dilemparkan hanya kerana untuk meraih sokongan,"katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan PKR di sini semalam. 

Semalam, Lokman menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan berlaku amalan politik wang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa pihak lawannya akan melakukan 'pengeboman' di saat-saat akhir dengan mula mengedarkan duit kepada para pengundi supaya memilih calon mereka untuk menang majoriti besar.

Mengulas lanjut, Mohd. Zawawi yang juga Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh turut mengalu-alukan SPR dan SPRM untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan amalan politik berkenaan. - K! ONLINE