Beliau berkata, pelan Transformasi TLDM 15-5 sebagaimana yang diilhamkan bekas Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin sebelum ini akan diteruskan bagi meningkatkan keupayaan armada TLDM.

"Pelan ini akan diperbaiki dari semasa ke semasa mengikut keadaan persekitaran. Kita juga akan memastikan segala dasar kerajaan yang digariskan didukung oleh TLDM dalam menjamin kedaulatan perairan negara dan keselamatan maritim," katanya kepada pemberita selepas memulakan tugas secara rasmi sebagai Panglima Tentera Laut ke-17 di Wisma Pertahanan hari ini.

Ketibaan beliau dimulai dengan mengambil tabik hormat dan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama beserta Panji-panji KD Malaya yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Leftenan Komander Mohd Sukri Abd Rahman di Dataran Wisma.

Mohd. Reza, 55, dilantik sebagai Panglima Tentera Laut menggantikan Ahmad Kamarulzaman yang bercuti sebelum bersara dari perkhidmatan dalam TLDM pada Jumaat lepas. - Bernama