Menurut laporan media tempatan, Morsi, 67, rebah selepas penutup sesi perbicaraan di mahkamah dan segera dikejarkan ke hospital yang kemudiannya meninggal dunia sejurus selepas itu.

Morsi adalah presiden Mesir pertama yang dipilih secara demokratik dan hanya sempat memegang kuasa lebih setahun pada 2011 sebelum pihak tentera menumbang pemerintahannya pada Julai 2013.

Sementara itu, organisasi yang dimiliki beliau, Ikhwanul Muslimin telah diharamkan.

Pada 2018, tiga ahli parlimen British memberitahu, bahawa Morsi dikurung bersendirian selama 23 jam sehari, dan hanya dibenarkan bersenam selama satu jam.

Menurut mereka, cara Morsi dikurung boleh diklasifikasikan sebagai penyeksaan dan juga boleh menyebabkan kematian.

Morsi yang mempunyai masalah kesihatan termasuk kencing manis serta penyakit hati dan buah pinggang juga dilaporkan tidak menerima rawatan perubatan yang diperlukan.

Pemimpin Islam itu hidup dalam penjara selepas digulingkan dan berdepan beberapa pendakwaan termasuk sebagai pengintip untuk Iran, Qatar dan kumpulan militan seperti Hamas di Semenanjung Gaza. Beliau juga didakwa di bawah akta pengganas.

Dalam pada itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang menyokong kuat pemimpin Islam semasa Allahyarham mengetuai Mesir, menyampaikan ucapan takziah kepada Morsi dan menggelarnya sebagai seorang syahid. - AFP