Menurut Mohamad Khusyairi, 43, peluang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai warga negara Malaysia tidak harus dilupakan walau panggilan Baitullah semakin terngiang-ngiang di telinga. 

"Saya datang awal pagi ini kerana pada pukul 11 nanti saya akan bergerak ke Kompleks Tabung Haji sebelum berangkat ke Mekah. 

"Namun pada kesempatan di pagi ini saya hadir awal di pusat membuang undi bagi menunaikan tanggungjawab kepada sistem demokrasi di negara kita," katanya ketika ditemui di Pusat Membuang Undi Bukit Naga sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di sini hari ini. 

Mohamad Khusyairi yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja berharap Calon Barisan Nasional (BN) DUN Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam akan menang pada PRK tersebut. 

Katanya, pengundi di DUN Sungai Kandis perlu memilih calon yang mampu membawa suara mereka di DUN memandangkan DUN tersebut memerlukan pembangunan infrastruktur yang menyeluruh. 

"Rakyat akan mendapat pembelaan sewajarnya jika mereka memilih pemimpin yang lantang bersuara seperti Lokman. Saya yakin beliau mampu melakukannya," katanya. - K! ONLINE