Menterinya, Lim Guan Eng berkata, dia telah mengarahkan kementeriannya untuk 
memulakan sebuah siasatan bagi menentukan siapa yang harus bertanggungjawab ke atas kedudukan serius itu dan juga menyekat bayaran sumbangan KWSP agar tindakan sewajarnya boleh diambil. 

Menurutnya, ini kerana timbul persoalan sama ada wang yang harus diperuntukkan untuk bayaran emolumen, gaji dan sumbangan KWSP telah 'dialihkan' oleh Bernama untuk tujuan pembayaran lain.

"Ini adalah suatu dakwaan serius memandangkan fakta menunjukkan sebaliknya. Sekiranya gaji bulan Julai tidak mampu dibayar kerana tidak menerima geran daripada Kementerian Kewangan, mengapa pihak kementerian hanya menerima surat permohonan bertarikh 19 Julai pada 22 Julai?.

"Kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nurini Kassim bahawa kerajaan menghadapi kekangan kewangan sehingga tidak dapat membuat bayaran KWSP juga adalah tidak berasas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Guan Eng, ini kerana, Kementerian Kewangan sentiasa mengutamakan pembayaran gaji termasuk sumbangan KWSP. 

"Emolumen dan gaji sentiasa akan diberikan peruntukan yang mencukupi agar bayaran emolumen boleh dibayar terdahulu berbanding dengan bayaran lain," katanya. 

Sementara itu, Guan Eng berkata, Kerajaan Persekutuan bukanlah kerajaan yang bankrap seperti kerajaan negeri tertentu yang tidak mampu bayar gaji anggota pentadbiran mereka. 

Katanya, laporan sedemikian yang membelakangkan fakta sememangnya telah memburukkan imej Kementerian Kewangan yang sering dipersalahkan apabila kementerian atau agensi 
melebihi perbelanjaan bajet dan cuba mencari alasan selain daripada kegagalan 
mereka sendiri menguruskan kewangan dengan baik.

Semalam, portal Malaysiakini melaporkan agensi berita nasional Bernama dipercayai berdepan masalah kewangan yang memberi kesan kepada caruman KWSP pekerja dan bayaran balik pinjaman, meskipun pemotongan gaji mereka sudah dilaksanakan.

Dalam mesyuarat bersama kira-kira 100 kakitangan, pengurus kanan akaun dan kewangan Bernama, Syarifah Zaini Syed Zain berkata, syarikat itu belum menerima geran daripada kerajaan untuk melunaskan bayaran gaji. -K! ONLINE