Hakikatnya ia mempunyai sejarah yang sangat panjang dalam salasilah hidup manusia termasuk orang Malaysia.

Di Malaysia, minuman kopi sangat dekat dengan kehidupan masyarakat kita sehinggakan banyak perkara dikaitkan dengan kopi. 

Pada zaman dulu di kampung-kampung, hampir kebanyakan gerai dipanggil kedai kopi, bukannya kedai teh. Selain itu, kita juga sering mendengar pelbagai jenis lagu di corong radio berkaitan kopi contohnya kopi dangdut bukan teh dangdut.
Malah, ada istilah rasuah juga dikaitkan dengan minuman hitam pekat tersebut iaitu duit kopi dan bukannya duit teh. 

Populariti dan penangan aroma kopi menyebabkan ia mudah dipasarkan.

Lantaran itu, hari ini kopi hadir dalam pelbagai kelas, rasa dan jenis untuk memenuhi kehendak, gaya hidup serta cita rasa pengguna.

Maka tidak hairanlah, pada zaman manusia sa­ngat sibuk dengan tuntutan kerja, kopi segera muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan di pasaran. 

Malah untuk meningkatkan kehebatan kopi tersebut ia dipromosikan dengan campuran pelbagai jenis herba.

Kopi segera dengan campuran tongkat ali, mengkudu, halia, kacip fatimah, susu kambing atau madu bukanlah asing lagi bagi kebanyakan kita.

Lebih hebat lagi, kopi dengan campuran bahan ini kemudian dicanang boleh memberi 1,001 kebaikan daripada meningkatkan tenaga dalaman, menguatkan seks, menguruskan badan, mengurangkan kolesterol malah membantu mengawal masalah penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis.

Penulis bukanlah mahu memperlekehkan khasiat herba dan makanan tertentu untuk kesihatan tetapi banyak persoalan yang timbul di kotak minda.

Antaranya bagaimana secangkir kopi campuran boleh memberi 1,001 khasiat kepada badan manusia?

Kalau benarlah ada minuman ‘ajaib’ seperti itu mudahlah kerja doktor.

Namun, sebenarnya jauh lebih merisaukan penulis lewat ke­belakangan ini dalam perlumbaan menjadi kopi terhebat ada pengeluar yang bertindak di luar batasan dengan meletakkan bahan kimia terlarang.

Bahan ini sebenarnya untuk meningkat respons tubuh terutamanya melonjakkan tenaga, daya tahan tubuh atau melangsingkan badan.

Antara yang paling kerap dilaporkan pihak berkuasa ialah penemuan bahan sildenafil, taladafil, ste­roid dan sibutramine yang sebenarnya hanya boleh dipreskripsikan oleh doktor lantaran ia mengancam nyawa jika diambil pada dos yang berlebihan.

Jika ada yang lupa, penulis mahu mengimbas kembali satu kisah tragik seorang pengawal keselamatan berusia 36 tahun yang maut mengejut selepas meminum kopi campuran tradisional mengandungi sildenafil di Selangor pada September 2014.

Selain kisah tragis lelaki itu, terbaru video tular dua pengawal yang mengalami gejala keletihan dan khayal selepas meminum sejenis kopi berperisa durian turut menarik perhatian ramai.

Walaupun siasatan awal mendapati kes tersebut menjurus kepada kegiatan sindiket dadah yang mahu menjual peket kopi itu di pusat hiburan, namun persoalannya sejauh mana pengguna mengetahui bahan-bahan campuran di dalam sepeket kopi?

Sejauh mana kebenaran yang dicanang pengeluar kopi, secangkir kopi mereka mampu memberi pelbagai khasiat?