Perlukah kehadiran seorang sahabat di sisi kita? Seorang sahabat yang akan sentiasa ada bersama-sama ketika kita sedang diulit kesedihan mahupun ketika meraih kegembiraan? Adakah seorang sahabat tidak diperlukan dalam kehidupan kita? Mungkin ada yang menjawab ya. Alasannya mudah, dalam dunia teknologi serba-serbi ada ini, banyak cara dan akti­viti yang boleh dibuat. Paling popular - bermain gajet, menonton filem di panggung wayang atau pergi bersukan dan beriadah.

Penulis percaya, kita semua tidak kira peringkat usia ada kawan di mana-mana. Mungkin sahabatnya saja yang kurang ada. Dalam zaman semuanya di hujung jari anda, kawan bukan saja yang bertemu di depan mata tetapi ada juga istilah kawan online. Makna kata, kawan yang dikenali hanya dalam talian (online). Biarpun tak pernah jumpa tetapi sembangnya mengalahkan orang yang sudah lama kenal.

Ramai yang kata, sahabat adalah orang yang sanggup bersama saat kita susah dan se­nang. Adakala sahabat ini datang dalam kalangan ahli keluarga sendiri ataupun yang mempunyai pertalian darah. Ada juga yang langsung tidak mempu­nyai ikatan kekeluargaan tetapi perhatiannya melebihi saudara sendiri. Seorang sahabat sejati mengerti adab dalam menjaga sebuah ukhuwah. Dia tidaklah mencintai sahabatnya kecuali dia mencintainya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.

Paling beruntung apabila memiliki sahabat sejati atau orang sekarang cakap, best friend fo­rever (bff). Sahabat yang akan sentiasa membantu kita walau dalam apa situasi sekali pun. Sahabat sejati inilah yang sukar dicari. Sahabat sejati adalah individu yang mampu memahami diri kita. Baik sama ada ketika kita tenang mahupun beremosi serta sabar dengan kerenah kita. Paling penting, dia bersahabat dengan kita dengan pe­rasaan yang telus.

Sahabat yang baik adalah mereka yang mengisi kekurangan kita, bukannya mengisi kekosongan kita. Sahabat ini selalunya akan memberi pandangan yang kadang-kadang tidak selari dengan kehendak dan kemahuan kita. Ini kerana mereka perlu bersikap neutral bagi memperbetul tindakan yang dirasakan tidak betul. Bukan semberono menyokong apa saja yang kita buat. Mereka boleh menjadi penyokong terbaik atau saja pengkritik terbaik.

Persoalannya, penting sangatkah mempunyai sahabat? Jawapannya sudah tentu, ya. Dunia perhubungan itu serba luas dan tak terjangkau dek akal fikiran.

Dunia kita bukan hanya setakat dengan ahli keluarga. Ada yang menganggap isteri atau suami, ibu atau bapa dan majikan (bos) atau pekerja sebagai sahabat sejati mereka, tempat meluahkan segala rasa. Namun, jangan lupa sebaik-baik tempat mengadu adalah Allah SWT - itu yang utama.

Paksi persahabatan adalah kasih sayang, keikhlasan dan kejujuran. Sahabat juga adalah orang yang mampu menyimpan rahsia dan keaiban kita. Mereka tidak semudahnya mencanangkan keburukan kita ketika tercetusnya pergaduhan atau perselisihan pendapat. Rahsia dan keaiban kita diikat rapi kerana bertunjangkan rasa jujur dan ikhlas. Jika sahabat itu adalah tangan, maka tangan itu akan melindungi anggota tubuh yang lain walaupun darah tertumpah menjadi taruhan.

Bersahabatlah kerana dunia kita tidak lengkap tanpa peneman-peneman yang setia ini. Hubungilah mereka andai kita sudah melupakan mereka. Jalinkanlah ikatan yang murni dan semoga Allah memelihara persahabatan itu sentiasa dalam lindungan-Nya. Mohon dijauhkan daripada fitnah dan sifat dengki yang mampu meleraikan ikatan itu. Kalau ada selisih faham, bermaaf-maafanlah kerana kita sendiri tidak tahu sehingga bila kita masih bernafas di dunia ini.

Kesempatan ini juga, penulis ingin memohon maaf atas keterlanjuran kata atau apa-apa tingkah laku yang telah mengguris hati sahabat-sahabat sepanjang 14 tahun penulis berkhidmat di syarikat ini. Kepada sahabat-sahabat yang masih kekal berkhidmat terutamanya bersama akhbar Kosmo!, teruskan perjuangan melayari bahtera ini dan terima kasih atas segala-galanya.