Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, Haslinda Haraji, 24, atau lebih manja dipanggil Abot maut selepas separuh daripada badannya hancur digilis lori pasir.

Turut cedera difahamkan bakal tunangnya, Amirul Fikri Daniel Afan, 19, yang patah tangan kanan dan cedera di bahu kanan. 

Amirul merupakan Tentera Udara di Markas Tentera Udara, Bahagian Sumber Manusia, Kemenyah Jalan Padang Tentera, Kuala Lumpur.

Abang mangsa, Sakaran, 35, berkata, pesanan Abot itu diceritakan oleh ibunya yang pelik terhadap kelakuan adiknya itu sewaktu ingin keluar rumah pagi tadi. 

Katanya, Abot yang merupakan anak kesembilan daripada 10 beradik itu didapati sempat bergurau dan berpesan sebanyak dua kali supaya ibunya mendoakan keselamatannya. 

"Ketika disoalkan mengenai pesanan itu oleh ibu, adiknya hanya senyum sebelum menerima berita kemalangan Abot lima minit kemudian. 

"Kami sekeluarga tidak tahu dia berkawan dengan kawan lelakinya itu cuma ibu memaklumkan mereka bercadang untuk melangsungkan pertunangan dalam tempoh enam bulan,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang Amirul Fikri Daniel bergesel dengan sebuah lori. 

"Akibatnya, Haslinda yang membonceng motosikal terjatuh sebelum digilis lori yang kemudiannya melarikan diri.

“Polis sedang mengesan pemandu lori tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - K! ONLINE