Menurut Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) (Bahagian Sains, Teknologi dan Inovasi), Prof. Madya. Dr. Ramzah Dambul, inisiatif tersebut juga bertujuan memberi lebih maklumat mengenai kepentingan kemahiran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam bidang pekerjaan yang bakal diceburi.

"Usaha seperti ini amat penting kerana apabila kita mencapai status negara maju menjelang tahun 2050 nanti, negara memerlukan modal insan yang berdaya saing dan mampu memajukan bidang teknologi global.

"Justeru, usaha berkenaan harus dicontohi semua pihak bagi menggalakkan lagi lebih ramai golongan muda terlibat dalam bidang pendidikan," katanya pada Majlis Pelancaran Program Minggu Sains Nasional peringkat negeri Sarawak di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi negeri (MESTR), Datuk Seri Michael Manyin Jawong.

Program anjuran MESTR dan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corp.) itu turut mendapat kerjasama MOSTI

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corp, Dr. Mohd. Shuhaizam Mohd Zain berkata, tenaga kerja masa hadapan perlu mempunyai kemahiran menganalisis serta mampu menguasai mata pelajaran STEM.

“Oleh itu, kita perlu memastikan modal insan di Sarawak dan juga seluruh negara memiliki kemahiran ini supaya dapat membina kerjaya yang lebih bermakna dan bermanfaat dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) pada masa hadapan,” ujarnya.