Perasaan sayu dan hiba tentu sekali tidak dapat digambarkan apatah lagi Kosmo! sudah menjadi ‘rumah kedua’ mereka. Di sinilah mereka siang dan malam mencari rezeki menanggung keluarga.

Di sinilah mereka mencurahkan keringat, berhempas-pulas menghasilkan berita-berita terbaik untuk tatapan jutaan pembaca.

Beberapa minggu lepas, selepas tawaran Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dibuka, suasana di Kos­mo! menjadi suram sama dengan cuaca mendung yang tiba pada musim tengkujuh.

Apa yang pasti bukan mereka yang akan pergi sahaja berasa sayu dan hiba untuk meninggalkan ‘rumah kedua’ ini tetapi kepada kakitangan yang masih tinggal untuk meneruskan perjuangan bersama akhbar No. 1 ini yang turut diselubungi perasaan sama.

Kepada yang mengambil keputusan meninggalkan K­osmo! mereka perlu memikirkan bagaimana untuk menghadapi cabaran kehidupan dan dunia di luar sana, manakala yang tinggal perlu bekerja lebih keras menghadapi cabaran dunia penerbitan.

Umum sedar bahawa dunia penerbitan dan akhbar menghadapi zaman penurunan perlahan-lahan bermula sejak dua dekad lalu.

Di Amerika Syarikat, pengedaran akhbar bercetak harian yang mencecah 60 juta naskah pada tahun 1994 kini jatuh kepada 35 juta naskhah.

Begitu juga dengan perolehan iklan menjunam daripada AS$65 bilion (RM272 bilion) pada tahun 2000 kepada AS$19 bilion (RM79 bilion) pada tahun 2016. Turut terkesan sama ialah berlaku pengurangan terhadap kakitangan media hampir 40 peratus antara tahun 1994 hingga 2014.

Begitulah senario akhbar ber­cetak hari ini apabila bukan sahaja berhadapan dengan kos operasi yang semakin meningkat tetapi juga perubahan dunia selepas kemunculan internet.

Pengeluaran gajet-gajet canggih menambah derita apabila sebaran berita tidak lagi pada helai­an kertas sebaliknya beralih pada paparan skrin telefon pintar yang menemani hampir setiap manusia di atas muka bumi ini.

Berikutan perkembangan itu, banyak pandangan diberikan oleh pihak-pihak berkaitan untuk cuba menghuraikan mengenai masa depan akhbar bercetak ini. Bagaimanapun hasil penelitian penulis, hampir tidak ada yang mampu menjawab dengan pasti.

Namun, suatu yang menarik, penulis menemui senario minat golongan bilionair dunia terhadap industri akhbar yang dianggap semakin diketepikan oleh generasi masa kini.

Mereka termasuk manusia terkaya di atas planet Bumi iaitu Jeff Bezos yang merupakan pengasas syarikat Amazon yang membeli akhbar The Washington Post pada harga AS$250 juta (RM1 bilion), John Henry pemilik firma J.W. Henry & Co membeli The Boston Globe pada harga AS$70 juta (RM292 juta) dan Sheldon Adelson membeli Las Vegas Review Journal pada harga AS$140 juta (RM586 juta).

Turut tersenarai ialah Laurene Powell Jobs yang membeli The Allantic, Patrick Soon-Shiong (Los Angeles Times), Marc Benioff (Time) dan bilionair China, Jack Ma membeli akhbar Hong Kong, South China Morning Post.

Sebilangan mereka ini di­tanya mengenai tujuan membeli dan memiliki akhbar berkenaan. Tentu sekali jawapannya bukan untuk mendapat publisiti percuma atau mahu menentukan tajuk utama berita siaran akhbar ber­kenaan.

Secara logiknya, apakah yang Bezos mahukan dengan kekayaan hasil jualan secara dalam taliannya, begitu juga dengan Jack Ma, apa yang beliau kisahkan dengan akhbar bercetak harian berban­ding penguasaan perniagaan digital yang diusahakannya.

Selepas membuat penelitian, penulis mendapati, mereka mahu memiliki saham syarikat akhbar berkenaan kerana ia dianggap sebagai ‘khazanah rakyat’.

Akhbar kepada mereka merupakan asas demokrasi tulen, s­uara rakyat dan penyebar ilmu pengetahuan. Malah, akhbar dianggap sebagai media yang masih utuh dengan prinsip kebertanggungjawaban sebelum menyiarkan sesuatu berita.

“Berita palsu adalah kanser kepada perjalanan masa kita. Saya membeli syarikat akhbar kerana inilah benteng kepada integriti dan kebebasan editorial,” kata Soon-Shiong, bilionair kelahiran Afrika Selatan.

Hari ini dan esok, jika dipanjangkan usia, penulis masih bersama akhbar Kosmo!, namun kami perlu bersedia dan bertabah de­ngan arus perubahan dunia.