Menteri Luar Belanda, Stef Blok akan mengadakan lawatan kerja sehari ke Malaysia esok dan beliau dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah, menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.

Selain MH17, kedua-dua menteri dijangka membincangkan pelbagai isu mengenai kepentingan bersama termasuk minyak sawit, Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama (PCA) Malaysia-Kesatuan Eropah (EU), ASEAN dan Brexit, katanya.

"Lawatan ini dijangka dapat mengukuhkan lagi ikatan persahabatan dan mencerminkan hubungan jangka panjang antara Malaysia dan Belanda," katanya dalam kenyataan itu.

Pesawat MAS itu yang dalam penerbangan dari Armsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh pada 17 Julai 2014, di ruang udara timur Ukraine. Kesemua 298 penumpang dan anak kapal terkorban.

Menurut Wisma Putra, Malaysia dan Belanda juga menyasar untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang baharu.

Pada 2018, jumlah perdagangan dan pelaburan dua hala antara Malaysia dan Belanda masing-masing pada RM32.57bilion (US$7.82 bilion) dan RM8.4bilion (US$2.06 bilion). - Bernama