MGA yang menyokong semakan semula tarif gas asli untuk sektor bukan tenaga di Semenanjung Malaysia bagi 1 Julai hingga 31 Dis, 2018 yang baru diumumkan, berkata  langkah itu akan memastikan keselamatan tenaga di negara ini. 

"MGA memuji  usaha liberalisasi pasaran kerajaan, termasuk kelonggaran dalam harga gas untuk mencapai harga berdasarkan pasaran.

"Sebagai persatuan yang bertanggungjawab ke atas industri gas asli negara, MGA komited untuk membantu pertumbuhan industri dan menganggap pengumuman ini sebagai langkah progresif oleh kerajaan dalam membangunkan lagi pasaran gas," kata Ketua Setiausaha MGA, Rosman Hamzah dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MGA yakin medan permainan yang saksama, dalam jangka panjang akan meningkatkan penyertaan dan mengorak langkah bagi kemajuan sosio-ekonomi yang lebih kukuh dalam negara. 

Semakan itu, yang diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga, telah diumumkan oleh Gas Malaysia Bhd. hari ini. 

MGA berkata ia akan terus meningkatkan kesedaran mengenai manfaat gas asli, memperluaskan penerimaan dalam pembaharuan pasaran gas di Malaysia dan membantu pertumbuhan industri gas asli. - Bernama