Nekad, Dr. Hisfazilah Saari, anak kelahiran Banting, Selangor yang kini menetap di Lund, Sweden yang mahu memartabatkan budaya Malaysia menjadi kenyataan apabila sambutan majlis tamat pengajian PhD diadakan ala kenduri kahwin Melayu.

"Berbunga manggar, berpakaian tradisional, joget lambak dan semestinya hidangan Melayu. Memang meriah dengan kehadiran lebih 100 orang dan sangat bangga apabila rakan satu universiti kagum dengan budaya negara yang ditonjolkan sebegitu.

"Hinggakan penyelia PhD saya kata, majlis anda mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia memaparkan diri anda yang sebenar. Mungkin benar katanya kerana antara punca tercetusnya idea tersebut adalah timbul perasaan geram apabila rakyat Sweden lebih mengenali dan gemar melancong ke Thailand dan Singapura berbanding Malaysia.

“Jadi, saya 'bawa' Malaysia ke majlis graduasi saya pada Oktober lalu," katanya yang dihubungi Bernama melalui aplikasi WhatsApp.

Lebih menarik, graduan dari Lund University berusia 36 tahun ini memilih untuk mengenakan seragam baju kurung sekolah menengah ketika pembentangan kertas kajian doktor falsafahnya sebagai cara menzahirkan rasa 'Merdeka' selepas berjaya melakukan sesuatu yang sangat bernilai dalam hidupnya.

Tambahnya, merdeka itu juga satu lambang kemenangan selepas satu-satu perjuangan, sama ada perjuangan mencari ilmu, mencapai kemajuan, menegak keadilan, keharmonian dan termasuklah memartabatkan budaya bangsanya.

"Baju seragam sekolah itu bukan sekadar lambang merdeka apabila saya tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) atau PhD tetapi mahu dijadikan inspirasi kepada anak-anak yang mana perjuangan mencari ilmu sebenarnya satu perjalanan sepanjang kehidupan dan ia tidak terhenti pada SPM sahaja. Hanya dengan ilmu, jiwa dan minda kita tidak dapat dijajah sewenangnya dan itulah makna kemerdekaan sebenarnya," katanya. – Bernama