Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kegiatan kumpulan itu terbongkar apabila satu laporan polis dibuat Selasa lepas berhubung kejadian samun melibatkan seorang lelaki warga Indonesia.

"Suspek dipercayai terdiri daripada tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis. Bertindak atas kejadian, Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan telah melakukan operasi dan menahan tiga lelaki serta seorang wanita tempatan kurang dari 24 jam," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pihaknya turut merampas sejumlah barangan kes yang dipercayai hasil samun daripada suspek yang berusia antara 31 hingga 42 tahun itu.

"Hasil siasatan awal, suspek mengaku telah menjalankan kegiatan samun serta menyamar sebagai penjawat awam di dalam Daerah Johor Bahru Selatan sebanyak 12 kes.

"Mereka telah bergiat aktif sejak tahun 2016 sehingga kini. Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis meth," kata Shahurinain. - Bernama