Jangan sesekali tunjuk kepada kawan, kasihan jika dia teringin. Emak cukup bimbang jika perbuatan saya itu akan memberi kesan psikologi yang buruk kepada rakan sekali gus menyusahkan ibu dan bapanya rakan tersebut.

Hakikatnya, sejak dahulu lagi orang Melayu merupakan kelompok yang tidak suka bersikap sombong, di sam­ping sering mengamalkan nilai merendah diri. Antara peri­bahasa yang menerangkan pemikiran tersebut adalah bawa resmi padi, makin berisi makin menunduk (makin ba­nyak ilmu atau tinggi pangkat makin merendah diri).

Perbandingannya pula adalah jangan sesekali ikut resmi jagung, makin berisi makin jegang (makin kaya, berpangkat, berilmu, makin berlagak sombong). Pada masa sama, sebagai seorang Melayu yang berpegang kepada ajaran Islam, kita juga dilarang sama sekali bersifat riak dan cuba menunjuk-nunjuk.

Justeru, tidak hairanlah jika kita dapat melihat ramai individu berpengaruh, cemerlang dalam bidang tertentu di sekeliling kita yang masih memperlihatkan sifat me­rendah diri yang tinggi, jauh sekali bersifat bongkak.

Walaupun bergelar ilmuwan yang bijak pandai, usahawan sukses bertaraf bilionair atau ulama hebat dalam bidang­nya, tidak pernah kita mendengar mereka mendabik dada memperkecilkan kemampuan orang lain.

Membaca kisah kejayaan taikun Melayu terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary hakikatnya menye­darkan kita bahawa kerja keras, iltizam untuk berjaya dalam melakukan sesuatu adalah tidak memadai.

Sebaliknya, menurut beliau, setiap usaha itu mesti dilaksanakan dengan tawaduk, jauh sekali sombong membangga diri. Pastinya, sehingga kini, taikun bumiputera hebat itu tidak pernah memaparkan koleksi jam tangan atau harta peribadinya, apatah lagi memaparkan penyata caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja beliau kepada umum!

Namun hari ini, pada zaman penggunaan media sosial yang semakin meluas dan tiada sempadan, budaya merendah diri dalam kalangan mereka yang berjaya nampaknya semakin sukar untuk dipatuhi.

Facebook, Twitter, Instagram dan aplikasi-aplikasi lain menjadi tempat mereka yang sukses ini ‘berkongsi’ apa yang mereka miliki kepada umum. Jika matlamat perkongsian sekadar hendak menaikkan semangat masyarakat untuk berjaya seperti mereka, silakanlah. Kongsilah sebanyak mana yang mahu.

Tetapi malangnya ada segelintir yang suka menunjuk-nunjuk, namun tidak kena tempat. Lebih malang, ada yang tidak kaya atau berjaya setara mana pun, sombong saja yang lebih.

Baru-baru ini, tular seorang individu yang mendakwa memiliki lebih lima buah rumah kos rendah dan sederhana (yang kemudiannya disewakan) diserang netizen. Dalam negara yang mengamalkan ekonomi bebas, tidaklah menjadi kesalahan pun seseorang itu memiliki banyak rumah. Mahu miliki 100 buah rumah pun tidak menjadi masalah.

Namun yang tidak manisnya adalah apabila dia mempersoalkan mengapa kalau dia mampu, kenapa orang lain tidak? Pernyataan itu bukan sahaja membangga diri, sombong tetapi juga memperlekeh kemampuan orang lain pada ketika semua maklum, rumah kini melampau-lampau harganya.

Berkata seorang alim, Syeikh Abdul Qadir Dastuti: “Seorang hamba (Allah) tidak patut berbangga dengan ilmu, harta dan kuasa yang dimilikinya sebelum ia selamat melintasi titian sirat. Apa guna pujian manusia jika kita tetap terjatuh ke dalam neraka pada hari kiamat nanti?”

Menunjuk-nunjuk, membangga diri atas sesuatu, khususnya perkara yang sukar dimiliki orang lain, bukanlah tindakan yang bijak sebalik­nya memperlihatkan kedangkalan sikap kita memahami kesusahan, keperitan hidup mereka yang kurang mampu!