Menurut cef tersebut, makanan trend bermusim yang hanya popular dalam masa terhad itu hanya akan memberi satu ‘keceriaan’ dan menawarkan pilihan unik kepada peminat makanan dan minuman, tetapi ia tidak akan bertahan lama.

Jelasnya, kebanyakan menu yang ditularkan itu tidak sedap dan hilang cita rasa serta identiti asli makanan berkenaan di samping ada yang tidak menyihatkan.

Memang benar kata cef tersebut, beberapa menu makanan yang berjaya ditularkan dan begitu popular dalam kalangan masyarakat sebelum ini, tetapi tidak lagi diniagakan sekarang.

Antara menu tersebut ialah shellout makanan laut, pisang goreng cheese, milo ais kepal, kuih keria, mi tarik dan durian crepe.

Kini, industri makanan dan minuman tempatan telah dibanjiri dengan kemasukan pelbagai menu popular dari Korea yang telah mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan muda.

Saya juga pernah teruja untuk merasai makanan yang ditularkan dengan sanggup memandu kira-kira dua jam dari pusat bandar ke sebuah kampung di Melaka.

Jalan raya menuju ke gerai jualan kuih tersebut mengalami kesesakan luar biasa, selain menghadapi kesukaran untuk meletak kenderaan. Saya juga terpaksa beratur hampir sejam untuk membeli kuih popular tersebut.

Kepayahan yang dialami untuk mendapatkan kuih tradisional yang ditambah baik itu amat berbaloi kerana ia memang diakui sedap dimakan sehingga membuatkan ketagihan untuk mencuba lagi pada masa depan.

Namun baru-baru ini, apabila saya berkunjung ke Melaka semula tetapi bukan untuk membeli kuih tesebut, suasana di sekitar gerai jualannya tidak sesibuk seperti sebelum ini, masih ada pembeli tetapi tidak kelihatan barisan panjang pe­langgan beratur di depan gerai untuk menunggu giliran membeli kuih berkenaan.

Popularitinya kini semakin menurun, apatah lagi, kuih berkenaan boleh juga didapati di kawasan Lembah Klang, malah ada juga yang dijual lebih sedap daripada rasa kuih asalnya di Melaka.

Perubahan drastik dalam rangkaian industri makanan dan minuman ini perlu diberi tumpuan oleh usahawan yang terlibat dalam segmen ini. Ia agak berisiko kerana pelaburan yang dibuat tidak mampu menjana pendapatan untuk jangka panjang.

Mereka perlu mencari inisiatif baharu untuk berubah mengikut peredaran trend selera pe­langgan, jika bermodal besar, peniaga itu akan terus berjaya tetapi jika sebaliknya, usahawan itu bakal dibebani dengan hutang.

Apa yang penting, penglibatan dalam industri makanan dan minuman jika kena dengan kajian, permintaan, pasaran serta produk yang ditawarkan, pasti ia bakal menjana pendapatan lumayan kerana manusia tidak pernah berasa jemu untuk makan dan minum sepanjang hidup mereka.