Katanya, walaupun beliau sedih dan dukacita dengan kejadian itu, namun beliau tidak boleh menyalahkan peladang atau pekebun kecil mengenainya kerana belum ada bukti jelas yang mengaitkan pembunuhan gajah itu dengan pihak peladang atau pekebun kecil.

"Saya tidak ingin menyalahkan pekebun kecil atau peladang mengenai pembunuhan gajah itu kerana belum ada bukti. Jadi mari kita sama-sama tunggu laporan siasatan kerajaan negeri Sabah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit 2018 di sini hari ini.

Teresa mengulas mengenai kebimbangan WWF-Malaysia berhubung kekerapan kes kematian gajah liar di Sabah kebelakangan ini. Mengikut Jabatan Hidupan Liar Sabah, untuk tahun ini sahaja, 26 ekor gajah dilaporkan mati dipercayai dibunuh dengan sebahagiannya mati disebabkan jangkitan pada luka yang terkena perangkap di bahagian kaki. - Bernama