Selain itu, beliau bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook akan turut ke Singapura bagi membincangkan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).

Mengulas lawatan ke China, Guan Eng berkata, kunjungan hormat yang dibuat susulan kejayaan Pakatan Harapan membentuk kerajaan, bukan sekadar membabitkan perbincangan mengenai projek saluran paip gas dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), sebaliknya turut menyentuh perspektif hubungan dua hala secara meluas.

"Kita perlu memutuskan masa (lawatan) yang tepat kerana kini menghampiri sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

"Namun inilah perkara pertama yang akan kita lakukan selepas berakhirnya cuti Hari Raya itu," katanya dalam temu bual dengan Bernama pada Jumaat.

Selepas dilantik menerajui kementerian itu, Guan Eng turut mendedahkan projek meragukan itu yang dibongkar menerusi 'fail merah.' 

Projek itu dimeterai oleh Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) yang didakwa ada kaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

SSER yang merupakan anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, ditubuhkan pada 19 Mei, 2016 dengan matlamat khusus untuk mengendalikan projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

Pembayaran projek terbabit adalah berdasarkan tempoh dan bukan kemajuan kerja yang progresif dan menyebabkan RM8.3 bilion atau 88 peratus daripada nilai keseluruhan projek dibayar walaupun hanya 13 peratus siap dilaksanakan.

Susulan itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengarahkan Guan Eng dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke China untuk berbincang dengan pihak yang terbabit dalam projek MPP dan TSGP itu.

Ditanya sama ada delegasi Malaysia itu akan turut membincangkan ECRL, Guan Eng berkata : "Itu adalah antara isu yang akan dibincangkan.

"Malah, kita akan melakukan perkara serupa dengan Singapura. Mohamed Azmin Ali, Anthony Loke Siew Fook dan saya sendiri akan ke Singapura untuk berbincang dengan rakan di sana mengenai projek HSR yang membabitkan kedua-dua negara.

"Kita percaya Singapura mahukan negara jiran yang berjaya. Ini kerana jika jirannya berjaya, saya yakin ini akan turut memberi manfaat kepada republik itu yang sememangnya rapat dengan kita sejak sekian lama.

"Oleh itu, saya percaya Singapura juga mahu menemui kita," katanya. - Bernama