Mengakui lawatan Osman ke atas kapal pengawasan Malaysia di pelabuhan Johor itu tanpa kebenaran kerajaan persekutuan, Perdana Menteri berkata, beliau terkejut dengan reaksi berhubung perkara berkenaan.

"Maksud saya reaksi terhadap beliau (Osman) ke sana agak keterlaluan seolah-olah beliau pergi berperang. Maksud saya beliau cuma ke kapal, ke perairan neutral," katanya menjawab soalan seorang hadirin selepas menyampaikan syarahan di Oxford Union yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awani dari London awal hari ini.

Hadirin itu bagaimanapun menegaskan Osman telah menceroboh perairan wilayah Singapura namun Mahathir menegaskan kawasan tersebut adalah perairan antarabangsa.

"Ia bukan perairan Singapura, ia perairan antarabangsa dan menteri besar boleh pergi ke perairan antarabangsa tanpa memerlukan Singapura menghantar kapal perang untuk menghalau beliau," katanya. - Bernama