"Timbalan (menteri), kita tidak tahu berapa banyak, tapi kita akan beri hak kepada menteri sama ada dia perlu kepada timbalan ataupun tidak," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini hari ini.

Beliau ditanya pemberita mengenai barisan Kabinet kerajaan sama ada akan ada pertambahan kementerian lain dan senarai timbalan menteri bagi kementerian yang telah ada.

Setakat ini, 13 kementerian telah diwujudkan dengan kesemua menterinya telah mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara pada 21 Mei lalu.

Kementerian berkenaan adalah Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Tenaga Manusia, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Kesihatan.

Pada 10 Mei lepas, Mahathir, 92, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh, sehari selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menyaksikan tamatnya pemerintahan 61 tahun Barisan Nasional. - Bernama