Penulis ketawa kerana ia se­perti memberi gambaran basikal itu kepunyaan si penunggang, sementara menggeleng kepala apabila mengenal pasti ‘identiti’ basikal tersebut yang kini berada hampir di semua hab penting di ibu kota. Basikal itu berwarna kuning dan perak yang diperkenalkan sebagai oBike sekitar April tahun lalu.

oBike yang merupakan perkhidmatan sewaan basikal berasaskan aplikasi telefon pintar diperkenalkan selaras dengan pelancaran MRT. Ia diilhamkan oleh sepasang suami isteri dari Singapura bagi memudahkan pengguna pengangkutan awam berbasikal ke destinasi yang mahu dituju.

Cara menggunakannya juga agak mudah. Melalui pembacaan penulis yang belum berkesempatan menggunakan oBike, basikal ini boleh membawa seseorang ke destinasi dengan hanya perlu memuat turun aplikasi oBike di App Store atau Play Store, dan kemudian daftar serta log masuk akaun oBike.

Bagi pengguna kali pertama, perkhidmatan oBike memerlukan anda memasukkan deposit sebanyak RM129 untuk dewasa dan RM79 untuk pelajar. Harga untuk sewaan basikal pula ditawarkan berasaskan blok masa iaitu serendah RM1 untuk 15 minit. Bermakna, sekiranya anda berbasikal sekitar 35 minit, anda dikenakan bayaran sebanyak RM3 mengikut blok masa RM1/15 minit.

Lebih daripada itu, setiap basikal dilindungi insurans. Dengan kunci keselamatan automatik dan sistem penjejakan berasaskan GPS, basikal ini juga mengurangkan risiko untuk dicuri. GPS juga memboleh­kan pekerja syarikat mengambil basikal yang ditinggalkan di destinasi jika tiada pengguna lain yang menggunakannya ke destinasi selanjutnya. Begitu serba ringkas penjelasan bagaimana oBike berfungsi dan memudahkan kita.

Malangnya, berbalik seperti peristiwa yang penulis sentuh tadi, oBike kini bukan sekadar digunakan sebagai fasiliti awam, sebaliknya banyak yang menyalahgunakan kemudahan yang pernah direkodkan mencapai 200,000 pengguna sejak ia diperkenalkan.

Belum pun sampai setahun, oBike menjadi tunggangan sesiapa sahaja yang boleh penulis kategorikan sebagai tidak bertanggungjawab. Jauh sebelum penulis terserempak dengan warga asing menggunakan basikal itu untuk ke kedai runcit, sekumpulan remaja yang barangkali baru pulang dari bersiar-siar, menggunakan oBike untuk ‘test power’, berlumba sesama sendiri di atas jalan raya yang sesak.

Ada juga oBike yang penulis nampak, dicampak ke dalam rimbunan pokok ceri berhampiran kediaman termasuk sebuah yang lain tertonggeng di dalam longkang.

Tindakan sedemikian telah membunuh misi meletakkan Malaysia sebagai negara maju, bertamadun dan mempunyai penduduk yang bermoral. Sebaliknya jatuh ke paras yang paling memalukan.

Pada saat banyak orang memanfaatkan oBike dengan sebaiknya, segelintir pula mencampakkan basikal itu dalam kategori mangsa vandalisme. Ia sangat menyedihkan apabila pihak yang menjadikan perkhidmatan ini sebagai sumber pendapatan, kini berdepan dengan kerugian.

“Pihak kami mengalami kerugian kesan vandalisme ini. Namun, kami kini bekerjasama dengan pihak polis.

“Dari segi undang-undang, pelaku yang ditangkap merosakkan atau menghilangkan oBike boleh didenda atau dipenjara sekurang-kurangnya dua tahun atau kedua-duanya sekali,” jelas Pengarah Pemasaran oBike, Elaine Chan yang penulis hubungi berhubung dilema vandalisme dan cara mereka menangani permasalahan ini.

Ini sudah tahun 2018. Di manakah tahap moral kita, jika perkara sekecil basikal pun tidak boleh diperlakukan dengan sebaiknya. Jangan beri persepsi negatif dan buruk tentang masyarakat kita dan negara pada mata dunia.

Jangan hanya kerana ia bukan hak hakiki kita, ia dilakukan dengan sewenangnya. Seelok­nya, jagalah apa juga yang ada di sekeliling kita dengan sebaik­nya, seperti kita menjaga tubuh badan dan nyawa kita.

Itu baru dinamakan sebagai generasi dengan mentaliti ja­guh seluruh dunia.