Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam, mangsa, Mohd. Ezani Abd. Hamid, 49, yang juga dikenali Jani Robert berasal dari Kampung Cempaka beriadah dengan bermain futsal bersama rakan-rakan selepas solat tarawih di gelanggang Arena Futsal Pengkalan Chepa di sini.

Seorang rakan karib mangsa, Azman Jaafar, 55, memberitahu, ketika kejadian arwah bermain futsal tidak sampai 10 minit dan kelihatan kepenatan.

Katanya, dia terus bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat berita mengenai arwah daripada rakan-rakannya.

"Saya difahamkan semasa kejadian arwah bermain futsal sekejap sahaja dan terus keluar gelanggang untuk rehat dan sempat berbual dengan rakan-rakan lain ketika itu.

"Ketika berbual, tiba-tiba arwah sesak nafas dan terus rebah namun sempat dipimpin serta dipangku oleh beberapa rakan-rakan. Mangsa ketika itu tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, mangsa sudah berkhidmat dengan HUSM lebih 20 tahun.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu di tempat kejadian.

Menurut Azman, mangsa sangat aktif dalam arena bola sepak terutama melibatkan aktiviti yang dianjurkan jabatan tempatnya berkerja dan juga merupakan seorang pengadil berwibawa.

"Saya tidak sangka kehilangan sahabat karib dan arwah amat disayangi oleh rakan-rakan tak kira usia kerana sikapnya yang peramah.

"Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cempaka selepas solat Jumaat hari ini," ujarnya. - K! ONLINE