Sebagai contoh, jika kita mempunyai pendapatan RM3,000 sebulan dan berazam untuk menyimpan 10 peratus daripadanya, kita akan dapat menabung RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.

Dari segi kesihatan, kalau kita menyasarkan untuk berjoging dua kali seminggu dengan 30 minit setiap sesi, kita mampu melakukannya sebanyak 104 kali atau selama 52 jam setahun. Jika ingin meningkatkan ibadah dengan solat lima waktu secara berjemaah pula, angkanya akan mencecah 1,825 kali setahun. Kalaupun tidak mencapai sasaran 100 peratus, prestasi kita masih dianggap baik andai dapat menabung RM3,000, berjoging 80 kali dan solat berjemaah 1,500 kali dalam setahun.

Setiap penghujung tahun, kita sering mengatakan mahu menjadikan tahun baru yang akan datang lebih baik daripada tahun sebelumnya. Lebih banyak aset hendak dimiliki atau lebih banyak perkara baharu ingin diterokai. Namun, azam seperti itu hakikatnya kurang jelas.

Kejayaan harus dapat diukur. Sama seperti berat diukur dengan kilogram atau jarak diukur dengan kilometer, hampir semua perkara di dunia dinilai mengikut mekanismenya sendiri. Begitu juga azam, ada kayu ukur atau indeks petunjuk prestasinya (KPI). Ia mestilah spesifik, boleh diukur dan dicapai dalam masa ditetapkan. Tanpanya sesuatu azam tidak akan ada motivasi dan jauh daripada realiti.

Bukan sahaja perkara baik, kegagalan dan perangai buruk juga perlu diukur, dinilai dan dimuhasabah supaya dapat diperbaiki menjadi lebih baik. Kalau kita kaki rokok dan menghisap 20 batang rokok sehari, bermakna 7,200 batang rokok dihisap dalam setahun. Bayangkan betapa banyak racun yang telah disedut ke dalam paru-paru. Kira juga berapa banyak wang yang telah dibelanjakan.

Sekiranya kita termasuk dalam kalangan rakyat Malaysia yang ketagih internet pula, melayari laman sosial selama empat jam sehari atau 1,460 jam setahun mungkin sudah sebati dalam diri. Bayangkan berapa banyak masa yang telah dibazirkan dan berapa kali pula pasangan terguris hati disebabkan sikap kita yang leka bermain telefon pintar berbanding berbual-bual atau mendengar luahan hati mereka.

Berapa banyak pula kerja yang gagal disiapkan menje­lang tarikh akhir yang ditetapkan gara-gara kita lebih sibuk mengemas kini status di Facebook dan Instagram atau menonton video di YouTube di pejabat. Bukanlah dinamakan kejayaan sebenar jika kita hanya pandai mengumpul harta bertimbun tetapi perangai buruk masih menggunung.

Setiap kali penghujung tahun, kita juga perlu tahu ‘markah’ kita berbanding tahun-tahun sebelumnya. Hanya dengan membuat perbandingan barulah kita tahu prestasi kita. Ia juga membantu kita menetapkan sasaran yang akan dicapai pada tahun hadapan. Paling tidak, kita bolehlah me­lakukan muhasabah atas kekurangan diri pada tahun 2017, sama ada prestasi di tempat kerja atau di rumah.

Di pejabat, orang yang menilai ialah bos kita, di rumah pula, isteri dan anak-anak. Ibu bapa, kawan-kawan dan orang bawahan juga ada penilaian masing-masing terhadap kita. Jangan abaikan mereka. Penilaian mereka ibarat ‘kad laporan’ tidak bertulis yang akan menentukan siapa kita. Dapat markah tinggi atau rendah kita sahaja yang tahu. Yang penting muhasabah dan perbaiki. Itu baru penilaian manusia di dunia, belum lagi penilaian Maha Pencipta di alam yang satu lagi.

“Perbaiki diri kalian sebelum kalian dihisab.” Saidina Umar al-Khattab, seorang sahabat Rasulullah, sangat kuat berpegang dengan kata-kata ini. Malah, hampir semua tokoh yang berjaya dan orang-orang soleh melakukan muhasabah secara harian, mingguan, bulanan mahupun pada penghujung tahun untuk mengetahui prestasi masing-masing. Bagi orang Islam pula, kita seumpama usahawan yang pasti membuat penyata akaun tahunan untuk melihat untung rugi dalam perniagaan.

Hanya dengan perancangan sesuatu azam dan cita-cita dapat dicapai termasuk cita-cita untuk memasuki syurga paling tinggi di akhirat nanti. Selamat tinggal 2017, selamat datang 2018.