Sudah pasti ketika me­langkah ke tahun baharu, setiap orang daripada kita berharap akan mendapat suatu yang lebih baik lagi berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Namun, dalam harapan itu, suatu yang tidak boleh dinafikan ialah ada pihak yang kecewa dengan perkara yang mereka lalui sepanjang tahun lalu.

Antaranya ialah kumpulan militan Daesh yang terpaksa mengakui bahawa 2017 adalah tahun malang bagi mereka selepas wilayah jajahan takluk mereka jatuh satu persatu di Iraq dan Syria.

Pemimpin Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi yang tidak diketahui nasibnya sehingga hari ini telah mengisytiharkan kerajaan ‘Khalifah’ pada 29 Jun 2014 di bandar Mosul, Iraq.

Sejak itu, mereka kelihatan begitu kuat apabila mampu menguasai ba­nyak bandar strategik khususnya yang kaya dengan pengeluaran minyak sekali gus menarik ramai anggota dari seluruh pelosok dunia untuk turut serta bersama kumpulan itu.

Malah, dikatakan kumpulan itu pernah disertai sehingga 30,000 anggota dengan hampir separuh daripadanya terdiri daripada pelbagai negara di Eropah dan Asia yang terpe­ngaruh dengan propaganda kononnya mahu me­nubuhkan sebuah kerajaan Islam baharu.

Dengan menjadikan Mosul sebagai ibu negara, Daesh ketika itu berjaya menawan bandar-bandar utama seperti Balji, Ra­madi, Sinjar, Tikrit dan ­Fallullah di Iraq.

Di Syria pula menyaksikan bandar-bandar Aleppo, Raqa, Homs dan beberapa lagi jatuh satu persatu sehingga menyebabkan jutaan penduduk terpaksa menjadi pelarian bagi mencari tempat yang lebih selamat.

Dilaporkan akibat pe­perangan menentang Daesh di Iraq sahaja lebih tiga juta penduduk terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka.

Keadaan Syria lebih getir kerana konflik bukan sahaja bagi menentang Daesh tetapi juga perang saudara melibatkan kumpulan-kumpulan pembe­rontak menentang tentera rejim Presiden Bashar al-Assad sehingga lebih separuh daripada 22 juta penduduknya menjadi pelarian di bumi sendiri atau melarikan diri ke negara lain termasuk Eropah.

Bagi merampas semula Mosul, tentera Iraq yang dibantu tentera pakatan di bawah Amerika Syarikat terpaksa mengambil masa hampir enam bulan untuk mengepung serta menewaskan anggota Daesh meskipun jangkaan awal sekitar tiga bulan.

Begitu juga di Syria, apabila tentera Bashar dengan bantuan sekutu Rusia berjaya melemahkan kedudukan Daesh di kubu utama di Aleppo sebelum anggota kumpulan itu tumbang di Raqa dan Homs.

Persoalan yang perlu kita hadapi pada tahun 2018 ini ialah bentuk, hala tuju dan pergerakan kumpulan militan tersebut selepas menghadapi saat kejatuhan sepanjang tahun lalu.

Apa yang membimbangkan ialah corak perjua­ngan kumpulan tersebut menjadi lebih sukar untuk diramalkan apabila ahli-ahlinya berpecah, berselerak dan sebila­ngan pulang ke tempat asal masing-masing.

Paling menakutkan mereka turut membawa di dalam minda masing-­masing perjuangan dan ideologi sesat negara ‘Khalifah’ terbabit.

Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab kepada kita semua untuk kekal bersiap sedia menghadapi ‘peperangan’ militan Daesh selepas mereka tewas dan dimalukan pada tahun lalu.

Semoga hari-hari mendatang bagi tahun 2018 ini akan terus membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada kita semua.