Walau secantik dan seindah mana pun 2018 yang dilalui, sudah menjadi lumrah bagi seorang manusia untuk mendambakan sesuatu yang lebih lagi.

Pun begitu, harapan mungkin tinggal harapan dan janji belum pasti tertunai sekiranya kita sendiri tidak mengambil inisiatif dan berusaha memperbaiki diri untuk menggapai apa yang kita hajati.

Ramai dalam kalangan kita menyedari hakikat ini maka ramai jugalah yang menanam azam baharu dengan niat untuk berubah sempena tahun baru.

Keazaman serta keinginan untuk memperbaiki diri bagi mencapai impian adalah sesuatu yang amat mulia, namun ia cumalah angan-angan kosong sekiranya tidak disertai dengan strategi yang berkesan ataupun jika sasaran diletakkan tidak realistik.

Ramai dalam kalang­an kita yang kecundang dalam melaksanakan azam tahun baru. Ia sesuatu yang normal memandangkan bukan mudah bagi kita mengubah nilai dan cara hidup yang telah berakar dalam diri sejak bertahun lamanya.

Jadi pelbagai teknik, cara serta kaedah pun dicipta dan dibangunkan baik oleh pakar mahupun orang biasa untuk membantu kita mencapai azam yang telah di­bulatkan dalam hati.

Ada yang menampal resolusi tahun baru di peti ais.

Tidak kurang juga yang menyertai kumpulan dengan azam, aspirasi dan matlamat yang sama. Kumpulan seperti ‘mencapai berat badan ideal’ banyak terdapat di laman sosial seperti Facebook yang membolehkan ahlinya saling membantu dan memberi motivasi bagi mencapai hasrat serupa.

Bagi masyarakat Jepun, mereka memiliki satu teknik untuk membantu mereka berubah menjadi lebih baik. Teknik yang terkenal dan diamalkan di seluruh dunia ini dipanggil ‘kaizen’.

Banyak diaplikasikan dalam sektor korporat, kaizen sekiranya diterjemahkan secara terus ke dalam bahasa Me­layu membawa maksud ‘penambahbaikan’.

Teknik ini memerlukan kita membuat langkah yang kecil, sedikit demi sedikit secara berterusan dan berulang kali bagi mencapai misi yang besar.

Contohnya, berban­ding azam melakukan 100 kali tekan tubi setiap hari, kaizen hanya memerlukan kita melakukan sekali tekan tubi sehari.

Meskipun pada awalnya ia dilihat tidak akan memberi kesan, sekiranya diamalkan secara berterusan ia akan menjadi tabiat.

Sekiranya seseorang melakukan sekali tekan tubi setiap hari tanpa gagal, lama kelamaan dia pastinya akan menambah jumlah senaman tersebut dan akhirnya misinya untuk menjadi lebih ‘sado’ pasti semakin hampir dengan kejayaan.

Pada 1 Januari ini, bagi yang beranggapan ketibaan tahun baru ha­nya melibatkan perubahan tarikh dan kalendar, apa kata kita sama-sama memilih tabiat yang baik, namun mudah untuk dilakukan sebagai azam tahun baru.

Ia mungkin minum segelas air masak sebelum keluar rumah, bertafakur seminit sebelum tidur atau menderma seringgit sehari.

Insya-Allah menje­lang akhir tahun ini kita semua berubah menjadi insan lebih baik dan azam tahun baru 2019 bukan sekadar azam sebaliknya sudah menjadi amalan.

Pada ketika itu, mungkin kita boleh menanam azam baharu yang lebih hebat untuk tahun 2020.