Ia membuka mata penulis betapa Sri Lanka terutama ibu negaranya, Colombo yang begitu pesat membangun. Colombo yang terletak berhampiran laut turut sibuk dengan aktiviti perkapalan. Kerja-kerja menambak laut juga rancak dilakukan bagi membina pembangunan baharu sekali gus merancakkan ekonomi negara yang terletak di Asia Selatan iaitu di penghujung benua kecil India.

Uniknya, walaupun dihimpit pembangunan pesat, bangunan-bangunan lama masih banyak yang dipulihara. Bahkan, saya kagum menyaksikan kebersihan bandar raya Colombo tetap terpelihara. Sepanjang perjalanan menaiki bas dari Colombo ke salah sebuah lokasi tersejuk di Sri Lanka, Nuwara Eliya, beberapa bandar kecil yang dilalui juga agak bersih.

Selain itu, sepanjang perjalanan itu saya dapat menghayati keindahan landskap Sri Lanka yang masih terpelihara terutama di kawasan-kawasan pinggir kota dan kampung. Walaupun Sri Lanka kurang dikunjungi rakyat Malaysia, ia menawarkan pelbagai tarikan kepada mereka yang menyukai keindahan alam semula jadi.

Kawasan sejuk seperti Nuwara Eliya pasti meninggalkan kenangan manis terutama menikmati kesejukan waktu malam dan pagi. Anda juga dapat menghayati keindahan pelbagai jenis bunga tempatan yang ditanam di kawasan hotel.

Bagi mengenali lebih dalam mengenai Sri Lanka, ia mempunyai tiga kelompok utama penduduk iaitu Singhalese (penduduk asal Sri Lanka), Tamil atau orang Jaffna dan Melayu yang dibawa oleh British dari Malaysia sewaktu zaman perang dahulu.

Penduduk Sri Lanka berjumlah 20 juta orang. Tidak seperti di India yang majoriti rakyatnya beragama Hindu, kebanyakan penduduk di Sri Lanka menganut ajaran Buddha. Terdapat juga populasi besar penduduknya beragama Islam dan Hindu.

Sri Lanka juga adalah bekas jajahan British dan ketika itu dikenali dengan nama Ceylon. Negara itu mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1948.

Di Colombo, jalan rayanya agak sesak terutama ketika waktu puncak. Kita dapat menyaksikan penggunaan motosikal beroda tiga atau lebih dikenali sebagai tuk tuk. Bagaimanapun, saya tidak berpeluang menaiki pengangkutan awam ini. Ia berikutan, saya dimaklumkan oleh penduduk tempatan bahawa pemandu tuk tuk akan menggandakan bayaran kepada pelancong asing. Justeru, kami memilih menggunakan perkhidmatan Uber dan bayarannya ternyata agak murah.

Di Colombo saya sempat melawat Masjid Jami-Ul-Alfar yang disebut-sebut sebagai salah satu masjid terindah di dunia. Uniknya, bangunan ini berwarna merah dan putih dan popular dipanggil Masjid Merah. Ia terletak di tengah pusat Pettah. Sekitar kawasan masjid tersebut, ba­nyak terdapat kedai dan gerai yang menawarkan pelbagai barang seperti pakaian, minuman, makanan, hiasan dan buah-buahan. Harganya juga murah.

Menyentuh sedikit berkaitan teh Dilmah, ia diasaskan oleh Merrill J. Fernando pada tahun 1988. Di Sri Lanka, Fernando merupakan individu pertama yang membawakan konsep pengeluar teh asal tunggal iaitu petik, disempurnakan, proses dan dibungkus di kawasan sama ia dipetik bagi mengekalkan ke­segaran rasa dan kualiti teh.

Saya dapat menyaksikan kerja-kerja memetik daun teh masih dijalankan secara tradisional menggunakan tangan, manakala di kilang yang terletak dalam kawasan estet, penghasilan teh masih dikekalkan secara tradisi seperti daun teh dikeringkan menggunakan cahaya matahari.

Bahkan, terdapat pekerja yang mahir dalam merasa setiap teh yang dihasilkan. Bahkan, dalam seminggu mereka menghantar seba­nyak 12,000 sampel teh untuk dibida pembeli. Justeru, tidak hairanlah jenama ini terkenal dalam kalangan penggemar teh premium di seluruh dunia.