Bagi kebanyakan kita, tiada kerja bererti tiada wang masuk ke dalam saku. Komitmen bulanan dan perbelanjaan wajib yang ditanggung pula perlu dilunaskan seperti biasa.

Jika pekerjaan itu merupakan satu-satunya sumber rezeki untuk menyara diri serta keluarga, ia bagaikan satu mimpi buruk yang mahu dihindarkan jauh-jauh.

Namun kita harus akui, dalam keadaan ekonomi negara bahkan dunia yang dilihat kurang memberangsangkan, proses pengurangan pekerja berlaku di mana-mana, tanpa mengira industri. Jika ada yang anggap masih ‘terselamat’, ia mungkin merujuk kepada penjawat-penjawat awam berstatus tetap. Demikianlah asam garam dunia pekerjaan.

Hakikatnya, pengurangan kakitangan merupakan antara langkah akhir yang sering diambil oleh mana-mana organisasi setiap kali berlakunya kegawatan ekonomi.

Ia dilaksanakan untuk menjimatkan perbelanjaan operasi sekali gus memberi peluang organisasi menjana keuntungan demi kelangsungan perniagaan.

Selain mengurangkan kakitangan secara paksa, keba­nyakan majikan yang prihatin terlebih dulu menawarkan VSS (Voluntary Separation Scheme) atau Skim Pemberhentian Kerja Secara Sukarela yang mana pekerja akan diberi wang pampasan yang ditentukan berdasarkan tempoh perkhidmatan dan gaji terakhir.

Jika jumlah pampasan yang ditawarkan dianggap munasabah, VSS diterima seadanya.

Bagi yang masih di usia muda, perjalanan kerjaya baharu terpaksa ditempuh dan dalam keadaan ekonomi se­perti sekarang, tiada jaminan pun mengenai nasib dan masa depan mereka.

Apa yang pasti, tindakan mengurangkan jumlah pekerja dalam apa bentuk sekali pun, sama ada secara sukarela atau tidak, mempunyai kesan negatif terhadap pekerja lain yang tidak terlibat.

Perlu diakui, masing-masing berteka-teki mengenai hala tuju kerjaya dan beranggapan bahawa mereka juga mungkin akan menerima nasib yang sama pada suatu hari.

Selain itu, ada juga majikan yang mengambil pendekatan mengurangkan kakitangan yang kurang kompeten tetapi tindakan sedemikian belum tentu akan menjanjikan bahawa pekerja-pekerja mahir dan cemerlang akan terus ber­khidmat buat selama-lamanya.

Dalam situasi yang tidak menentu, pekerja-pekerja cemerlang ini juga mungkin mula mencari pekerjaan lain yang lebih stabil, justeru membawa kerugian besar kepada majikan yang sedia ada.

Bagi golongan pekerja yang berdepan dengan situasi se­perti ini, buatlah keputusan dengan tenang. Dalam hidup ini, ada keputusan yang perlu dibuat itu keputusan biasa-biasa dan tidak membawa kesan besar dalam kehidupan. Tetapi ada pula keputusan yang penting kepada kehidupan dan perlu diperhalusi dan difikirkan masak-masak.

Keputusan yang bijaksana biasanya mampu dibuat berdasarkan pengalaman dan kematangan hidup. Pengalaman pula datangnya daripada ilmu pengetahuan, pergaulan, peristiwa lampau dan kemampuan berfikir yang tinggi.

Semasa membuat keputusan, kita tidak seharusnya mengambil risiko tanpa pertimbangan. Ini kerana membuat keputusan untuk mengambil risiko juga satu keputusan.

Pastinya, dua kelompok kakitangan yang terlibat dalam situasi seperti ini sangat besar pengorbanan mereka. Masing-masing perlu berterima kasih dan saling menghargai antara satu sama lain.

Bagi yang memilih untuk melangkah pergi, mereka berkorban demi kelangsungan operasi manakala kakitangan yang tinggal, masing-masing membuat pengorbanan untuk terus berjuang dalam ketidaktentuan keadaan, sekali gus berusaha meletakkan orga­nisasi kebanggaan yang dibina bersama sebelum ini di persada semula!