Mereka bimbang pembinaan menara setinggi 30 meter itu memberi impak kepada kesihatan orang ramai disebabkan terdedah dengan risiko kesan radiasi.

Seorang penduduk, Chung Yee How, 39, berkata, dia hairan bagaimana pembinaan itu mendapat kebenaran kerana ia tidak mematuhi garis panduan.

Menurut beliau, sebarang pembinaan menara telekomunikasi di bumbung bangunan dilarang mengikut Garis Panduan Pembinaan dan Pembaharuan Permit Struktur TelekomunikasiI negeri Perak 2017.

"Memang kita risau tentang risiko penyakit pada masa akan datang terutamanya kanak-kanak sebab kita tidak tahu implikasinya.

"Justeru kita mahu penjelasan daripada pihak berwajib disebabkan pemilik bangunan pula terus berdiam diri," katanya.

Kebimbangan sama disuarakan Halina Abdul Rahman, 70,  apabila memberitahu tiga orang jirannya meninggal dunia beberapa tahun lalu dipercayai akibat penyakit kanser.

"Ini adalah menara yang ketiga di mana dua pemancar telekomunikasi sebelumnya telah dipasang di atas sebuah bangunan di Jalan 54 Hala Tasek Timur 1.

"Rumah saya pula hanya terletak kira-kira 20 meter di belakang bangunan rumah kedai ini. Kematian tiga orang jiran akibat kanser memang merisaukan," ujarnya.

Terdahulu, kira-kira 30 orang penduduk kawasan berkenaan mengadakan bantahan secara aman meminta tindakan pihak berkuasa mencari jalan penyelesaian.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan berkata, pihaknya telah pun menghantar salinan surat berhubung aduan penduduk itu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

"Penduduk juga mahu Ahli Dewan Undangan Negeri Bercham, Ong Boon Piow turun padang mendengar keluhan mereka," kata beliau. - K! ONLINE