Ya, hanya selepas lebih tiga minggu filem lakonan dua pelakon kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh dan Henry Golding itu ditayangkan di Malaysia, barulah saya menontonnya di pawagam.

Saya bukan terpengaruh dengan kutipan pecah panggung filem arahan Jon M. Chu itu yang kini mencecah AS$218 juta (RM903 juta).

Bukan juga disebabkan ingin melihat lakonan Michelle dan Henry tetapi kerana saya inginkan sebuah jawapan terhadap kenapa saya begitu berat hati untuk menonton filem genre romantik komedi itu.

Saya akui agak skeptikal terhadap Crazy Rich Asians sama seperti seorang rakan saya yang sampai sekarang tetap dengan pendiriannya yang langsung tidak mahu menonton filem itu.

Sebagai rakyat Malaysia, saya dan rakan saya itu sebenarnya merasakan Crazy Rich Asians pastinya akan menonjolkan sikap rakyat Singapura yang ‘kiasu’ atau mementingkan diri sendiri - ­suatu label yang sering diberikan kepada mereka.

Sementelah majoriti karakter yang dipaparkan menerusi filem tersebut ialah golongan yang sa­ngat kaya di negara berstatus maju itu.

Namun selepas menontonnya saya bukan sahaja terpikat dengan plot dan lakonan barisan pelakonnya, malah filem itu tidak pula menggambarkan rakyat Singapura sebagai kiasu.

Setidak-tidaknya Crazy Rich Asians bukan memaparkan tentang golongan individu yang sangat kaya di Singapura itu secara angkuh.

Cuma terselit sedikit kekecewaan kerana ada beberapa adegan filem itu yang menggunakan lokasi di Malaysia bagi menggambarkan senario di Singapura.

Cukup dengan Crazy Rich Asians, saya sebalik­nya teruja apabila penerbit filem itu, Ivanhoe Pictures telah berjaya mendapatkan hak penerbitan filem untuk buku Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood and the World.

Lebih mengujakan, penerbit bersama filem yang dikatakan bakal menggunakan judul Billion Dollar Whale itu ialah Michelle sendiri.

Buku karya bersama Tom Wright dan Bradley Hope itu mendedahkan tentang bagaimana wang milik syarikat pelaburan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwa diseleweng dalam satu skandal pengubahan wang haram terbesar di dunia berjumlah AS$4.5 bilion (RM18.56 bilion) membabitkan seorang rakyat Malaysia sebagai perancang utamanya iaitu Low Taek Jho atau Jho Low.

Jho Low kini masih dalam buruan pihak berkuasa Malaysia, Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat.

Apa yang menarik bagi saya ialah bagaimanakah filem itu kelak akan menggambarkan karakter Jho Low yang turut dikaitkan dengan skandal pemberian hadiah atau tajaan mewah kepada beberapa selebriti tersohor Hollywood termasuk Kim Kardashian, Leonardo DiCaprio, Paris Hilton, Alicia Keys dan Lindsay Lohan serta model terkenal, Miranda Kerr.

Namun apa yang saya bimbangkan ialah adakah filem itu kelak akan memaparkan karakter Jho Low secara angkuh tidak sepertimana rakyat Singa­pura digambarkan dalam Crazy Rich Asians.

Bagaimanapun, apa yang pasti tidak seperti Crazy Rich Asians, saya akan memastikan diri saya ini akan menonton Billion Dollar Whale sebelum atau setidak-tidaknya pada hari pertama ia ditayangkan di pawagam kelak.