Secara mudahnya, hari ini semua orang boleh menulis apa sahaja untuk dimuatkan di internet sama ada menerusi  laman web, blog, Facebook, WhatsApp, Twitter atau Instagram yang kemudiannya boleh diakses jutaan pelayar lain bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

Tanpa ada mana-mana pihak yang memantau, sudah tentulah penulis dan penerbit bebas ini boleh melakukan apa sahaja untuk melon­jakkan rating posting-posting mereka. 

Sama ada niat meninggikan rating bertujuan menjatuhkan individu tertentu, meramaikan pengikut untuk membanyakkan pengiklan atau menjadikan diri popular  bak selebriti ia terletak di tangan penulis dan penerbit bebas ini.  

Bagaimanapun, hasil kajian tentang reaksi manusia oleh sebuah jurnal psikologi, Psychological Science mendedahkan seseorang individu lebih tertarik dan cepat memberi respons negatif.

Kaji selidik mereka mendapati responden lebih lama berhenti untuk membaca sesuatu berita di telefon bimbit atau monitor komputer apabila ada perkataan-perkataan seperti bom, mundur, perang, penipu, kanser atau bodoh.

Sebaliknya, penulisan yang mempunyai perkataan seperti senyum, maju, bayi atau bahagia kurang menarik perhatian responden mereka.

Maka tidak hairanlah, dalam gelanggang alam maya hari ini posting-posting negatif mendapat lebih banyak tarikan apabila like, komen atau tontonan pelayar begitu tinggi.

Lantaran itulah, kemunculan berita, visual atau video  palsu dipenuhi dengan perkataan negatif bertebaran berleluasa di internet.

Kesannya sangat besar apabila ia mampu membunuh karakter seorang pemimpin, menyebabkan seorang ahli perniagaan mengalami kerugian, sebuah syarikat  boleh gulung tikar, komuniti berantakan atau seseorang individu mungkin menanggung malu seumur hidup.

Lantaran itulah, apabila Malaysia meluluskan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018 minggu lalu, seluruh dunia melihatnya dengan peminat minat. Manakan tidak, kerana berita, visual dan video palsu di internet yang sudah membudaya dalam warga alam maya, ia menjadi satu ancaman kepada dunia.

Selain negara-negara di Asia Tenggara, se­perti Singapura yang kini turut dalam perbahasan bagi menguat kuasa undang-undang serupa, negara seperti United Kingdom (UK) dan Perancis juga memilih jalan yang sama.

UK setakat ini sedang menubuhkan Skuad Anti Berita Palsu.

Yang pasti, dengan penguat kuasaan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 bermula kelmarin di Malaysia, menariknya pelbagai pihak sedang menanti dengan penuh debar bagaimanakah praktis akta tersebut ke atas jutaan berita, visual dan video yang bertebaran setiap hari di media sosial negara ini.

Adakah ia mampu menyekat berita palsu dan memenangkan berita benar?