Sebenarnya, cabaran pada bulan Syawal tidak kurang hebatnya kerana ia menjadi kayu pengukur kekentalan iman dan ketekunan ibadat yang dilaksanakan pada bulan Ramadan dapat kita terus istiqamah.

Beruntunglah bagi mereka yang menjadikan bulan Syawal ini untuk meneruskan momentum amal soleh kepada Allah SWT.

Pada masa sama, kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri masih hangat walaupun telah memasuki ming­gu terakhir bulan Syawal apabila tradisi kunjung-mengunjung terus berlangsung dalam suasana penuh gembira.

Selain itu, masih banyak jemputan majlis rumah terbuka Aidilfitri yang diterima daripada rakan-rakan, sanak saudara dan pihak jabatan serta syarikat korporat sehingga ke penghujung Syawal.

Aidilfitri secara syariatnya hanyalah disambut sehari, namun secara adat kita teruskan sambutannya sepanjang bulan Syawal.

Penulis mendapati sejak dari 1 Syawal sehingga ke hari ini, masih ramai yang memuat naik gambar-gambar menarik suasana sambutan hari raya dan rumah terbuka Aidilfitri dengan pelbagai gaya di media sosial seperti Facebook dan Instagram masing-masing.

Namun, di sebalik keseronokan menjamu selera juadah raya dan berkumpul beramai-ramai ketika berkunjung ke rumah sanak saudara serta kenalan, kadang-kadang kita tidak perasan berbual dan ‘membawang’ tentang keburukan orang lain.

Membawang adalah istilah yang dipopularkan oleh netizen di media sosial yang merujuk perbuatan mengumpat.

Bila lama tidak berjumpa, ramai pula yang menjadikan masa hari raya untuk saling bercerita mengenai peribadi orang lain sehingga terlupa menambah dosa sendiri.

Sepatutnya pada bulan Syawal ini, kita berubah pera­ngai menjadi lebih baik berbanding sebelumnya.

Bagaimanapun, penulis berbangga apabila mendapati masih ramai yang menjaga akhlak ketika menyambut hari raya dengan mengungkapkan perkataan santun dan puji-pujian.

Selain itu, sejak awal bulan Syawal lagi, banyak netizen membangkitkan pelbagai ragam tetamu terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang tidak ada adab ketika mengikut ibu bapa mereka berkunjung ke rumah sanak saudara dan kenalan.

Ramai dalam kalangan netizen mengeluh apabila ku­cing kesayangan mereka mati akibat dipukul dan dicekik anak tetamu yang tidak terkawal, malah ada pula yang mematahkan pokok bunga yang subur menghiasi halaman rumah mereka.

Kalau kanak-kanak yang bertamu tidak boleh duduk diam sambil menyentuh dan bermain barangan hiasan rumah serta makan bersepah-sepah di atas meja kini telah dianggap perkara biasa pada hari raya.

Islam sangat menjaga tertib dan keperibadian seorang Muslim, begitu juga dalam setiap perkara yang kita lakukan ada adab dan tatacaranya.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak mereka mengenai tertib dan adab berkunjung pada hari raya agar kehadiran kita sekeluarga disenangi serta dikenang sampai bila-bila.

Pada kesempatan ini, penulis ingin mengambil ke­sempatan pada hari-hari terakhir bulan Syawal ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua ahli keluarga dan kenalan yang tidak berpeluang bertemu pada hari lebaran lalu.