Bukan dia seorang sahaja yang sering kelihatan di masjid itu, beberapa lagi rakannya kebanyakannya telah pencen turut bersama-sama melakukan kerja.

Ada yang membasuh lantai, tandas, tempat berwuduk, membersihkan habuk dan menyusun al-Quran atau kitab-kitab yang ada di masjid ber­kenaan.

Aktiviti yang bermula seawal pukul 7 pagi itu biasanya selesai tiga jam kemudian. Di celah-celah golongan pencen itu terdapat juga dua atau tiga orang golongan muda. Bakti yang mereka lakukan tersebut berjaya membuka mata saya untuk sesekali menyertai kumpulan tersebut.

Ternyata semangat mereka untuk menjadikan masjid berkenaan bersih, ceria dan selesa untuk para jemaah pada setiap minggu merupakan satu usaha yang murni.

Ini kerana berdasarkan pemerhatian saya, tidak semua masjid mempunyai jemaah bergotong-royong membersihkan masjid pada setiap minggu.

Jadi tidak hairanlah, ada masjid yang kotor tandasnya, malah kawasan tempat mengambil wuduk berdaki dan berlumut. Adakalanya kita terpaksa berhati-hati untuk memijak lantai kerana bukan sahaja kotor malah ia juga licin.

Bagi masjid yang mempunyai dana besar, terdapat pekerja lengkap berpakaian uniform yang melakukan tugas-tugas tersebut. Justeru, keadaan masjid berkenaan akan sentiasa terkawal berikutan ia me­rupakan rumah ibadat yang menjadi tumpuan umat Islam terutamanya pada waktu solat fardu.

Berbalik kepada jemaah masjid di Taman Rakan, usaha segelintir mereka yang tidak mengenal lelah itu patut dicontohi oleh pihak pengurusan masjid lain. Saya faham, kebanyakan jemaah adalah golongan berusia dan ada yang datang bertongkat. Bagaimanapun, ia bukanlah satu alasan kerana pihak masjid boleh melantik ahli jawatankuasa bagi menguruskan hal-hal sedemikian.

Jika boleh, libatkan juga golongan muda.

Walaupun ia agak sukar, tetapi penggunaan pendekatan tertentu mampu menarik kehadiran golo­ngan muda ke masjid dan terlibat dalam aktiviti yang dianjurkan.

Masjid Taman Rakan misalnya, sentiasa dipenuhi pelbagai program sama ada berbentuk kuliah atau ceramah agama dan aktiviti membabitkan masyarakat setempat.

Malah, pada musim sekolah ini, pihak masjid ber­kenaan akan menganjurkan kem remaja selama tiga hari bagi mereka yang berusia 11 hingga 17 tahun. Selain itu, turut diadakan ialah majlis khatam al-Quran dan berkhatan pada 25 November ini.

Menghidupkan masjid bukan sahaja bergantung kepada jawatankuasa masjid, namun ahli kariah dan penduduk sekitar turut memberikan sumbangan penting. Mereka yang mempunyai idea-idea baharu untuk memartabatkan masjid patut menghulurkan bantuan.

Kesannya, institusi masjid akan menjadi le­bih mantap dan tidak ketinggalan menggunakan teknologi terkini.

Misalnya, mewujudkan zon Wi-Fi, penggunaan sistem siar raya yang terkini dan alat penyaman udara atau kipas. Bahkan, pengenalan almari yang terdapat barang keperluan harian seperti beras, gula, susu, tepung, sos dan garam boleh dilaksanakan di dalam masjid.