Beliau berkata, kerajaan akan melihat setiap sudut termasuk tiga elemen penting sebelum membawa isu tersebut ke mesyuarat Jemaah Menteri bagi memutuskan tempoh yang sesuai bagi penubuhan suruhanjaya berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, penubuhan RCI bukan disebabkan desakan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ataupun pihak yang semata-mata mahukan supaya penubuhan RCI berkaitan peristiwa Memali itu dipercepatkan.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, elemen pertama yang perlu dikaji adalah jika terdapat arahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan penembakan yang membawa kepada kematian Ustaz Ibrahim Mahmud atau dikenali sebagai Ibrahim Libya, dan pengikutnya dalam peristiwa berkenaan.

"Kita tahu bahawa tindakan yang merupakan elemen kedua oleh pihak polis adalah berdasarkan kepada arahan dan arahan ini kita harap adalah arahan yang bersandarkan kepada menjaga soal keselamatan, bukan kerana arahan politik.

 "Elemen ketiga pula adalah jika ada sebarang unsur penganiayaan atau kezaliman dilakukan oleh sesiapa saja yang telah mengeluarkan arahan sedemikian, menjadi tugas RCI  untuk menyiasat siapakah orang yang menjadi tokoh penting mengarahkan operasi di (Kampung) Memali ini dilakukan," katanya. - Bernama