Walaupun penganjurannya dibayangi kehangatan menghadapi Pilihan  Raya Umum, namun ia tetap merekod sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya acara di dunia yang menggabungkan pameran kelengkapan pertahanan,  ke­selamatan dan kepolisan pada satu penganjuran.

Ini apabila buat pertama kali, edisi ke-16 DSA dianjurkan bersama Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia 2018 (Natsec Asia ‘18) melibatkan kerjasama Kementerian Pertahanan (Mindef) dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Natsec Asia menggantikan Pameran dan Persidangan Polis Asia (GPAC) yang dianjurkan sebelum ini.

Selain DSA, satu lagi acara serupa yang telah meletakkan nama negara sebagai antara hab industri pertahanan glo­bal ialah Pameran Udara dan Maritim Langkawi atau LIMA. Bezanya, LIMA fokus terhadap industri aeroangkasa dan maritim berbanding DSA yang cenderung kepada pertahanan darat.

Untuk menarik penyertaan firma pertahanan asing me­nyertai acara berskala global seperti ini bukan mudah kerana ia melibatkan kos yang besar selain potensi untuk mendapatkan jualan.

Dengan nilai belanjawan pertahanan negara-negara ASEAN mencecah RM50 bilion setahun, maka potensi dagangan yang boleh dipacu menerusi sebarang perolehan bukan angka kecil.

DSA dan Natsec Asia ‘18 berlangsung di lokasi baharu iaitu Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur yang berkeluasan kira-kira 42,000 meter persegi.

Penganjuran ini juga telah meletakkan DSA dan Nastec sebagai pameran pertahanan dan keselamatan dalam kelompok kelima terbesar di dunia dan terbesar di peringkat Asia Pasifik.

Penyertaan kira-kira 1,500 buah syarikat dari 60 buah negara yang hadir mempertontonkan kelengkapan dan aset-aset berteknologi tinggi.

Langkah menggabungkan dua pameran bersama adalah bijak kerana kelengkapan serta keperluan bagi pihak tentera dan agensi keselamatan seperti polis mempunyai kesamaan, jadi ini juga menarik minat syarikat-syarikat luar negara untuk turut serta.

DSA dan Nastec Asia ‘18 turut menarik kehadiran 340 delegasi asing dari 40 buah negara termasuk ketua-ketua ang­katan tentera dan polis, tidak termasuk kehadiran kira-kira 50,000 yang terdiri daripada anggota tentera, polis, agensi keselamatan dan
pengunjung industri.

Antara pempamer yang turut serta seperti Airbus, BAE Systems, Turkish Defence Industry,  South Africa Pavilion, Korea Defence Industries dan Thales.

Selain pameran, turut dianjurkan ialah tujuh siri forum termasuk Perbincangan Meja Bulat Panglima-Panglima Tentera Darat dan Persidangan Berhubung Keselamatan Siber.

Sebanyak lapan kontrak, me­morandum persefahaman (tiga), surat  setuju terima (10), surat hasrat (satu) dan kerjasama pertahanan (enam) dengan nilai sebanyak RM18.4 bilion dimuktamadkan antara Kementerian Pertahanan (Mindef) dengan pelbagai syarikat pertahanan

Nilai terbesar kontrak menerusi enam program kerja­sama pertahanan oleh Mindef iaitu kira-kira RM14.4 bilion melibatkan beberapa industri hiliran.

Program ini menyaksikan persetujuan pemindahan teknologi daripada syarikat luar ke sini sekali gus mengurangkan penggantungan kepada pengeluar asal.

Walaupun Malaysia bukanlah negara ekonomi pertahanan utama, namun melibatkan syarikat tempatan dalam program kerjasama dengan pengeluar luar biarpun cuma menghasilkan komponen kecil sama pentingnya.

Misalnya kontrak pembelian 18 unit meriam 105LG1 daripada syarikat Perancis, Nexter. 

Kontrak selama tiga tahun itu akan bermula pada November tahun depan dengan penghantaran enam meriam pertama manakala penghantaran terakhir pada Februari 2020. 

Nexter bekerjasama dengan syarikat tempatan, ADS Sdn. Bhd. untuk penghantaran meriam-meriam tersebut yang akan dipasang di kilang ADS di Gemas, Negeri Sembilan.