‘Caj pencemaran’ ber­kenaan selaras dengan matlamat kerajaan untuk me­ngatasi masalah pencemaran sisa plastik melalui Pelan Hala Tuju Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang diterajui Kementerian Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Penulis mengalu-alukan pendekatan tersebut berikutan matlamatnya bagi me­ngurangkan pencemaran dan melestarikan alam sekitar.

Selain itu, ia bertujuan untuk mengubah minda masyarakat berhubung isu itu ekoran kerajaan menanggung kos yang tinggi untuk membersihkan pencemaran plastik.

Kementerian Wilayah Persekutuan sendiri memperuntukkan sebanyak RM260 juta setahun bagi menampung kos pengurusan sisa pepejal di Kuala Lumpur manakala RM90 juta di Putrajaya dan RM50 juta di Labuan.

Isu pencemaran plastik bukan sahaja menghantui rakyat Malaysia tetapi meliputi penduduk di peringkat global kerana ia bagaikan musuh kepada alam sekitar.

Masyarakat kini terlalu bergantung pada penggunaan plastik sekali gus menyebabkan ia sukar dikawal sehingga berlaku pencemaran. Bahkan, penggunaan plastik yang berleluasa menyebabkan orang ramai tidak menghargainya sehingga ia dibuang merata-rata tempat.

Selain menyakitkan mata, setiap hari berjuta-juta beg plastik ini turut memenuhi longkang sebelum hanyut dibawa hujan ke laut sekali gus memberi kesan lebih buruk khususnya kepada hidup­an laut seperti penyu.

Banyak video di laman sosial seperti Facebook memaparkan penyu ditemui mati akibat termakan plastik atau tubuh­nya diliputi plastik sehingga menyukarkan haiwan terancam itu untuk meneruskan hidup.

Pencemaran plastik bukan sahaja akan merosakkan alam sekitar tetapi akan memberikan impak negatif terhadap kehidupan manusia.

Mengikut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Program Alam Sekitar PBB (UNEP), seba­nyak 50 peratus plastik digunakan hanya sekali dan plastik ialah 10 peratus daripada sisa yang dihasilkan.

Setiap tahun, 13 juta tan plastik masuk ke laut. Kanada, Mexico, Amerika Syarikat dan Eropah ialah pengeluar utama plastik dunia dan 39.9 peratus plastik digunakan dalam pembungkusan. UNEP menyeru semua pihak menolak barang plastik pakai buang dan memilih plastik yang boleh diguna semula.

Di Malaysia, kira-kira 10 tahun lalu Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menganggarkan jumlah sisa pe­pejal meningkat kepada 30,000 tan sehari menjelang 2020. Sekarang sudah pun melebihi jangkaan 2020.

Memandangkan ancaman bahaya pencemaran, langkah-langkah wajar dan berkesan patut diambil. Langkah untuk melindungi alam sekitar ini bukanlah tanggungjawab pihak kerajaan sahaja. Ia tanggungjawab semua pihak.

Pengguna memainkan pe­ranan yang terpenting dalam menangani masalah pencemaran. Sebagai seorang pengguna yang bertanggungjawab, kita perlulah memilih barangan yang kurang sekali mendatangkan pencemaran.

Tanpa permintaan terhadap barangan yang mendatangkan pencemaran, pengusaha kilang juga akan mula menggunakan bahan-bahan yang lebih sesuai dengan alam sekitar.

Ketika keluar membeli-belah di pasar-pasar raya, kita sebaiknya membawa beg sendiri sekali gus dapat mengurangkan penggunaan plastik. Ini kerana kesedaran kita sebagai pengguna amat penting dalam menjayakan kempen-kempen berkaitan alam sekitar.

Walaupun, pengguna dikenakan caj sebanyak 20 sen, pemerhatian penulis ketika membeli-belah di pasar-pasar raya, ia tidak menghalang pengguna daripada membayarnya.

Justeru, kesedaran pengguna sendiri amat penting agar penggunaan plastik dapat dikurangkan terutamanya ketika membeli-belah di pasar-pasar raya, kedai runcit dan pasar basah.

Ingatlah, peranan kita yang sedikit itu sebenarnya memberi sumbangan yang amat bermakna kepada kelestarian alam sekitar dan kehidupan kita sendiri.