Melaka 21 Disember 2017 - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama
Idris Haron

Pemberian buat julung kali itu diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron membabitkan peruntukan tambahan diperoleh kerajaaan negeri yang mencecah RM500, 000. 

"Kerajaan negeri bersetuju untuk menambah peruntukan bagi kategori penggali kubur ini sebagai pengiktirafan kepada mereka dalam melaksanakan tanggungjawab penting bagi menguruskan pengebumian jenazah umat Islam. 

"Bantuan ini akan diperhalusi lagi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Roslan Ibrahim dan akan dibayar sebelum Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akbar selepas merasmikan Majlis Multaqa Murabbi Ummah peringkat negeri di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Tan Sri Othman Mustapha.

Idris yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka berkata, kerajaan negeri turut bersetuju untuk memberi insentif tambahan sebanyak RM250 kepada lebih 1,000 murabbi termasuk imam, noja, guru takmir, dan guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa). 

Katanya, ia bertujuan menghargai usaha dan tugas kariah dalam bidang berkenaan melaksanakan tanggungjawab dengan niat untuk mendapat keberkatan daripada punca halal. 

Sementara itu, Jamil memberitahu, Melaka menerima peruntukan sebanyak RM3.2 juta daripada Kerajaan Pusat untuk diagihkan kepada semua jawatan kuasa murabbi berkenaan. 

"Bajet tahunan yang diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) pada Oktober lalu sebanyak RM21 juta untuk diagihkan kepada negeri sepanjang tahun ini bagi mereka (murabbi) yang dikategori layak menerima," katanya. - K! ONLINE